Sorok dadah dalam papan lapis

Dadah yang disorok dalam papan lapis yang diletak dalam beg pakaian dua lelaki. - Foto ihsan polis
Dadah yang disorok dalam papan lapis yang diletak dalam beg pakaian dua lelaki. - Foto ihsan polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menemui dadah yang disorok dalam papan lapis yang direka khas dan diletakkan dalam beg pakaian dua lelaki di sebuah hotel dekat Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Dadah jenis ketamin 4kg dan dianggarkan bernilai RM240,000 itu dirampas dalam serbuan 8.30 pagi daripada dua lelaki yang disyaki bertindak sebagai keldai dadah untuk pasaran luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM858 dan sebuah kereta.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan dua lelaki tempatan berusia 24 dan 33 tahun di sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah disyaki ketamin seberat empat kilogram. Dadah disorok dengan cara dilekatkan pada papan pelapik yang direka khas di dalam beg,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, anggaran nilai rampasan dadah RM240,000 manakala nilai sitaan membabitkan wang tunai dan sebuah kereta berjumlah RM10,858.

"Kedua-dua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula 28 April lalu hingga lusa untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (1952) yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah keldai dadah yang bergiat aktif tiga bulan lalu dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ketamin ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kejayaan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah menggunakan keldai dadah yang didalangi warga tempatan,” katanya.