Bekas ejen CIA mengaku mengintip untuk China

Gambar yang diambil pada 13 Oktober 2017 menunjukkan Jerry Chun Shing Lee (kanan) pada upacara membuka tirai lukisan Salvator Mundi, karya pelukis tersohor, Leornardo da Vinci di bilik pameran rumah lelong Christie di Hong Kong.
Gambar yang diambil pada 13 Oktober 2017 menunjukkan Jerry Chun Shing Lee (kanan) pada upacara membuka tirai lukisan Salvator Mundi, karya pelukis tersohor, Leornardo da Vinci di bilik pameran rumah lelong Christie di Hong Kong.
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah semalam atas kesalahan mengintip untuk China, kata Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Jerry Chun Shing Lee, 54, ditahan pada Januari 2018, disyaki memberi maklumat berkenaan jaringan CIA yang dibawa kepada China antara 2010 dan 2012.

Lee mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Daerah AS di Virgina atas tuduhan bersubahat untuk memberikan maklumat pertahanan negara kepada China.

Dia meninggalkan agensi itu pada 2007 dan berpindah ke Hong Kong.

Menurut DoJ, beliau didatangi oleh dua pegawai risikan China pada April 2010.

“Mereka menawarkan Lee AS$100,000 (RM413,710) untuk maklumat dan menjaganya ‘seumur hidup’ sebagai pertukaran untuk kerjasama itu,” katanya.

DoJ berkata, pada Mei 2010, Lee mencipta satu dokumen di komputer ribanya yang menggambarkan di mana CIA menghantar tugasan pegawainya dan ‘lokasi khusus serta jangka masa operasi sensitif CIA’.

Menurut kenyataan DoJ lagi, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) juga menemui nota tulisan tangan oleh Lee berkaitan kerjanya untuk CIA.

Artikel Berkaitan:

“Nota itu termasuk antara lain, risikan diberikan oleh aset CIA, nama-nama sebenar aset, lokasi mesyuarat operasi dan nombor telefon serta maklumat bangunan rahsia,” kata DoJ. – AFP