Laluan sehala sempena Bazar Ramadan Jalan Raja

Nor Hisyam (tengah) bersama pengurusan tertinggi dan pegawai DBKL ketika meninjau persiapan perlaksanaan Bazar Ramadan Jalan Raja.
Nor Hisyam (tengah) bersama pengurusan tertinggi dan pegawai DBKL ketika meninjau persiapan perlaksanaan Bazar Ramadan Jalan Raja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebahagian Jalan Raja ditutup dan dijadikan laluan sehala untuk semua kenderaan sempena perlaksanaan bazar Ramadan.

Perubahan laluan itu telah berkuatkuasa bermula semalam hingga 10 Jun depan melibatkan dari simpang Jalan Tun Perak hingga ke simpang Lebuh Pasar Besar ke arah Jalan Sultan Hishamuddin.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata laluan sehala dibuat mengikut jadual iaitu melibatkan dua tempoh yang ditetapkan.

“Pada waktu pagi bermula 12.01 pagi hingga 1 petang ditetapkan untuk laluan kenderaan dari Jalan Sultan Hishamuddin ke arah Jalan Tun Perak.

“Manakala laluan sebaliknya dari arah Jalan Tun Perak ke Jalan Sultan Hishamuddin dibuka bermula jam 1.01 petang hingga 12 malam,” katanya pada sidang media selepas meninjau persediaan Bazar Ramadan Jalan Raja di sini hari ini.

Anggota trafik DBKL mengawal laluan yang ditutup sempena perlaksanaan Bazar Ramadan Jalan Raja.
Anggota trafik DBKL mengawal laluan yang ditutup sempena perlaksanaan Bazar Ramadan Jalan Raja.

Tambah beliau, bas-bas pelancong juga tidak dibenarkan memasuki Jalan Raja sepanjang perlaksanaan perubahan laluan itu dan hanya akan menurunkan penumpang di hadapan Galeri Kuala Lumpur.

“Bas-bas perlu diletakkan di Padang Merbok, tidak dibenarkan diparkir di kawasan Dataran Merdeka.

Artikel Berkaitan:

“Petugas trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditempatkan bagi mengawal lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, kerja-kerja pemasangan logistik di tapak Bazar Ramadan Jalan Raja telah dimulakan sejak semalam dan operasi bazar akan bermula pada 6 Mei hingga 5 Jun.

Sebanyak 344 petak bazar bawah kanopi berbumbung disediakan dan tiada sebarang aktiviti perniagaan dibenarkan di kawasan Dataran Merdeka.

Kedudukan kanopi berbumbung yang menempatkan 344 petak bazar di Jalan Raja sepanjang Ramadan tahun ini.
Kedudukan kanopi berbumbung yang menempatkan 344 petak bazar di Jalan Raja sepanjang Ramadan tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata DBKL belum menetapkan sebarang keputusan berhubung penutupan sebahagian laluan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR)

“Tempoh percubaan penutupan melibatkan Jalan Esfahan ke Jalan Melayu akan dilanjutkan untuk tiga bulan lagi sehingga satu keputusan kekal dibuat.

“Penyelarasan lampu isyarat di sepanjang Jalan TAR dari persimpangan Jalan Sultan Ismail akan dibuat dan anggota penguatkuasa trafik juga akan ditambah untuk mengawal keadaan,” katanya.