Jaga alam sekitar, jangan kaut untung saja

Chen Choon (tengah) dan Ismail (empat dari kiri) bersama kesemua pemenang Anugerah GAIA 2018/2019.
Chen Choon (tengah) dan Ismail (empat dari kiri) bersama kesemua pemenang Anugerah GAIA 2018/2019.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemain industri pelbagai sektor di negeri ini digesa mematuhi peraturan alam sekitar yang digariskan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata, pemain industri tidak sepatutnya hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

"Saya gesa semua pemain industri mematuhi segala peraturan alam sekitar yang ada. Anda mengaut keuntungan tapi pada masa sama mesti menjaga alam sekitar juga.

"Kesedaran awam terhadap isu alam sekitar ini perlu ditingkatkan melalui pendidikan daripada kecil lagi. Saya harap mungkin Menteri Pendidikan boleh melihat kepada isu ini juga," katanya,

Chen Choon (kiri) dan Ismail pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Green Accord Initiative Award (GAIA) 2018/2019 hari ini.
Chen Choon (kiri) dan Ismail pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Green Accord Initiative Award (GAIA) 2018/2019 hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Green Accord Initiative Award (GAIA) 2018/2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Jementah berkata, penganjuran Anugerah GAIA kali ketiga itu perlu diteruskan bagi menggalakkan lebih ramai pemain industri terlibat dengan inisiatif rendah karbon.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, penganjuran Anugerah GAIA menerima sambutan menggalakkan sejak dianjurkan pada 2016.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat aspek yang menyeluruh termasuk amalan penjimatan harian dalam kalangan pekerja yang tidak lagi menggunakan penyedut minuman, plastik, kitar semula dan kriteria-kriteria lain.

"Untuk kali ketiga ini kita senarai pendek 15 peserta daripada pelbagai sektor dan empat daripadanya dipilih sebagai pemenang untuk kategori ditetapkan," katanya.

Syarikat pembuatan bahan, Kerry Ingredient (M) Sdn Bhd diumum sebagai penerima Anugerah GAIA 2018/2019 manakala tiga lagi syarikat menerima Anugerah 'Special Mention' iaitu Merlin Entertainments Studios (M) Sdn Bhd untuk kategori industri, Seri Austin Sales Gallery and Office bagi kategori bangunan serta perumahan The Seed di Tanah Sutera memenangi kategori 'township'.

Difahamkan kesemua peserta disenarai pendek berpeluang menerima dana atau subsidi daripada Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) untuk menaiktaraf projek penjimatan masing-masing.