IPCMC: Kerajaan akan dengar pandangan semua pihak

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia bertemu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Beliau berkata kerajaan akan mendengar pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penubuhan suruhanjaya itu.

"Saya bertemu dengan semua orang, dengan anda pun saya bertemu juga," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan platform e-dagang Commodities Global Trade Sdn Bhd, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: IPCMC: PDRM adakan pertemuan dengan PM

Mengenai bantahan terhadap penubuhan suruhanjaya itu, Dr Mahathir berkata, sudah pasti ada pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan usul tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini dilaporkan berkata, PDRM akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi yang bakal bersara esok berkata, antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan juga semua isu-isu mengenai tatatertib pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah yang diambil bagi memastikan ia benar-benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang.

Selain itu bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini.

Pada 4 April lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata, IPCMC bebas untuk melakukan siasatan terhadap badan penguat kuasa itu dan kerajaan tidak akan campur tangan bagi menangani sebarang aduan mengenai polis.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas cadangan penubuhan IPCMC untuk menyiasat kes kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat yang didakwa membabitkan polis Cawangan Khas (SB) seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). - Bernama