Tengku Maimun dilantik Ketua Hakim Negara

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah memperkenan untuk melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa hari ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, pelantikan tersebut dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

"Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia setelah mendapat perkenan baginda," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, tempoh perkhidmatan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berakhir pada 12 April 2019 setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Richard Malanjum di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan," menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan: