Jangan 'keringkan' dosa sendiri, orang lain

DAI FUAD
DAI FUAD
A
A
A

MESKIPUN berpuasa, masih ada lagi orang yang tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Ia sebagaimana yang disebutkan dalam satu hadis Riwayat al-Nasa'i.

Pendakwah, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dai Fuad berkata, perkara itu memang boleh berlaku secara realitinya apabila seseorang mengumpat orang lain atau meneruskan budaya 'membawang' pada bulan Ramadan.

"Adapun, orang yang 'membawang' sebenarnya melakukan dosa-dosa kering. Bermaksud percuma sahaja pahala puasa tersebut sehinggakan dia tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Maka, sebab itu, perkara ini sangat penting untuk kita pelihara," katanya kepada Sinar Islam.

Menurut beliau, ada dua lagi perkara yang tidak boleh dipandang remeh iaitu memelihara mata dan menjaga aurat dengan sebaiknya kerana dibimbangi 'mengeringkan' pahala puasa kita.

"Contohnya, wanita pergi mencari juadah untuk berbuka puasa dengan berpakaian ketat. Ia bukan sahaja merugikan pahala orang lain, bahkan, merugikan pahala si pemakai.

"Justeru, saya ingin berpesan kepada kaum hawa, tutup aurat sebaiknya. Jangan mensia-siakan ibadah orang lain. Kita bukan hanya merosakkan diri kita tetapi merosakkan ibadah orang juga. Pastikan kita sentiasa menjaga perkara ini supaya kita tak mendatangkan musibah kepada orang lain," ujar beliau yang turut mengingatkan umat Islam agar mengawal nafsu dan mengelak pembaziran terutama ketika membeli juadah berbuka puasa.

Sementara itu, seorang lagi pendakwah, Senator Ustazah Asmak Husin berkata, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Artikel Berkaitan:

USTAZAH ASMAK
USTAZAH ASMAK

"Ia merupakan satu proses untuk mendapatkan ketakwaan sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran, menerusi Surah al-Baqarah, ayat 1 hingga 5.

"Di dalam surah ini, ALLAH menjelaskan kepada kita bagaimana kita hendak mendapatkan takwa itu. Dalam ayat itu, ALLAH sebutkan al-Quran itu adalah hidayah kepada orang yang bertakwa. Bagaimana hendak takwa itu? Perkara pertama yang kita buat adalah kena membetulkan perkara akidah.

"Maknanya, ketika bulan Ramadan ini, kita kena betulkan akidah kita. Kalau pergi pasar atau bazar Ramadan, akidah juga kena betul. Kalau sistem kepercayaan kita tak betul, itu yang kita nampak semua makanan dijual sedap sehingga mendorong kita beli banyak tetapi akhirnya, tidak dimakan," katanya.

Menurut beliau, kita berpuasa bukan untuk kurus atau melampiaskan nafsu sebaliknya untuk mendapatkan takwa dengan beribadah sepanjang bulan mulia ini.

"Fokuslah dalam bulan Ramadan kerana ia hanya datang sekali sahaja dalam setahun. Ramadan ini adalah peluang untuk kita 'sistematikkan' kembali gaya hidup seorang muslim yang sebenar. Sebab itu, ALLAH susunkan daripada pagi bangun sahur, solat Subuh, seterusnya, kita akan buat kerja-kerja rutin," ujarnya.