MBSA sedia 164 tong RORO percuma

SHAHRIN AHMAD
SHAHRIN AHMAD
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 164 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) di kawasan sekitar Shah Alam meliputi Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20 sempena dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba kelak.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tong RORO ini diletakkan untuk memudahkan orang ramai membuang sampah pukal seperti perabut lama dan barangan elektrik seperti almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya.

"Kesemua tong bersaiz tiga tan itu disediakan secara percuma bermula dari 6 Mei sehingga 22 Mei 2019 untuk kemudahan penduduk.

"Secara langsung ia memudahkan penduduk melaksanakan aktiviti gotong royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing selain memberikan didikan kepada warga Shah Alam tentang pengurusan sampah pukal dengan cara yang betul," katanya.

Katanya, MBSA berharap agar penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal tersebut di dalam tong RORO yang disediakan.

"Ia bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar agar berada dalam keadaan bersih dan selesa.

"Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO, boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MBSA di talian 03-55196402," katanya.

Artikel Berkaitan: