Mayat reput: Tiada unsur jenayah

Wan Azharuddin Wan Ismail
A
A

TAPAH - Tiada unsur jenayah dikesan pada mayat seorang lelaki yang ditemui hampir reput dalam gulungan karpet di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Lah, Chenderiang di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, punca kematian masih belum dapat ditentukan kerana keadaan mayat yang telah reput.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa telah mati sekitar 10 hari lalu.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah yang dikesan pada mayat tersebut.

“Bagaimanapun, punca kematian belum dapat ditentukan kerana mayat yang telah reput,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Wan Azharuddin berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa merupakan warga tempatan atau sebaliknya.

"Setakat ini, terdapat seorang lelaki warga Myanmar yang mendakwa mangsa adalah rakannya namun tiada sebarang dokumen dikemukakan lelaki tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia