Sebanyak 189 kenderaan dikenakan tindakan

Anggota JPJ Selangor melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan semasa operasi bersepadu dijalankan.
Anggota JPJ Selangor melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan semasa operasi bersepadu dijalankan.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 189 kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan di KM9 Jalan Klang-Banting semalam.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, selain itu, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 350 notis saman melibatkan 291 kesalahan menerusi operasi yang bermula pada jam 9 pagi itu.

"Kita menjalankan pemeriksaan terhadap 985 kenderaan secara keseluruhan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya seperti tiada lesen memandu, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), lebih muatan dan pelbagai lagi," katanya.

Difahamkan, Ops Bersepadu ini juga melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Imigresen Selangor (Imigresen), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Mengulas lanjut, Nazli berkata pihaknya turut mengambil tindakan terhadap enam penunggang motosikal warga asing terdiri daripada empat warga India dan selebihnya Bangladesh serta Pakistan.

"Siasatan mendapati warga asing ini tidak memiliki dokumen lengkap sebelum diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan susulan.

"Mereka dipercayai sering menggunakan laluan ini sebagai jalan utama untuk ke tempat kerja," katanya.

Dalam operasi sama, AADK turut berjaya mengesan seramai lapan individu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang dipercayai positif dadah.

Artikel Berkaitan: