Siasatan SPRM, CEO SSM mohon cuti awal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner ketika ini sedang menghabiskan baki cuti bermula pertengahan April, tanpa menyatakan sebab berbuat demikian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan keputusan pegawai kanan itu disampaikan kepadanya menerusi surat rasmi pada pertengahan April lalu.

“Zahrah ada utus surat kepada saya, menyatakan ingin bercuti, sebelum mula bersara pada 1 Julai nanti, tanpa menyatakan sebab,” katanya pada sidang akhbar di Menara SSM di sini hari ini.

Zahrah dan anaknya hari ini dilaporkan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.

Siasatan itu berhubung dakwaan terhadap anaknya berusia 20-an berkaitan skandal projek melibatkan SSM dianggarkan RM500 juta.

Pada 9 Januari lalu, SPRM merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai melibatkan dakwaan skandal projek SSM dianggarkan bernilai RM500 juta di ibu pejabat SSM.

Kesemua dokumen tersebut dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus yang diperkatakan sebelum ini, kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.

Susulan itu, dua kotak lagi mengandungi 71 kotak dokumen turut dirampas pada 11 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin memberitahu buat masa ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abd Aziz kini diberikan tanggungjawab untuk memikul tugas Zahrah sehingga beliau bersara yang dijadualkan Julai akan datang.