MAHB nafi 'rooftop' KLIA sudah boleh digunakan untuk solat Jumaat

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menafikan ruang solat atau musolla di ‘rooftop’ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah boleh digunakan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Bahagian Komunikasi Korporat Malaysia Airports memaklumkan, ruang solat tersebut dijangka boleh beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan ini setelah mendapat kelulusan daripada pihak Pejabat Agama Daerah Sepang.

“Inisiatif mewujudkan ruang solat di ‘rooftop’ itu merupakan salah satu usaha mereka untuk memudahkan umat Islam, khususnya kakitangan lapangan terbang yang mempunyai kekangan masa, menunaikan solat Jumaat di bangunan terminal.

“Ruang solat ini juga kelak akan terbuka bagi penggunaan orang ramai setelah siap dan mendapat kelulusan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

MAHB mengeluarkan kenyataan rasmi itu selepas tular kenyataan di aplikasi WhatsApp berkaitan ‘rooftop’ KLIA yang akan dibuka untuk kegunaan umum untuk solat lima waktu bermula 5 Mei ini dan solat Jumaat bermula 10 Mei ini.

Walau bagaimanapun, menurut Bahagian Komunikasi Korporat tersebut, pihaknya akan membuat pengumuman segera sekiranya mendapat kelulusan lebih awal daripada yang dijangkakan.

Dalam pada itu, MAHB turut memaklumkan bahawa sejak Disember 2018, pihaknya menyediakan empat buah bas percuma iaitu dua di KLIA dan dua lagi di KLIA2, bagi kegunaan pengguna di terminal yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA.

“Perkhidmatan bas ini bermula jam 12.30 tengahari sehingga 1 tengah hari dan akan memulakan perjalanan sebaik penuh bergantung kepada waktu solat semasa,” katanya.

Artikel Berkaitan: