Kerjasama UMNO, Pas mampu tawan Johor

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bersama Hasni dan Abdullah ketika bercakap kepada media di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bersama Hasni dan Abdullah ketika bercakap kepada media di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor percaya kerjasama dengan Pas di negeri ini, akan mempermudahkan lagi usaha untuk menawan kembali Johor daripada PH.

Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, beliau turut menzahirkan keyakinan mampu menawan 14 kawasan majoriti Melayu yang kini diwakili oleh wakil rakyat kerajaan menerusi kerjasama UMNO dan Pas.

"Di Johor ini, boleh saya katakan dengan adanya kerjasama UMNO dan Pas akan memudahkan lagi usaha kita untuk merampas semula kembali kuasa.

"Dan kita ada 14 kawasan majoriti Melayu di Johor ini, yang hari ini berada di pihak wakil-wakil kerajaan. Daripada 14 kawasan ini, saya yakin kita akan dapat rampas kembali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin turut menzahirkan keyakinan yang sama untuk parti tersebut menang kerusi-kerusi terutama majoriti Melayu di negeri ini, bersama UMNO.

"Kalau kita lihat sepintas lalu, yang lepas pun ada yang cuma kalah 90 undi. Ada kalah 200 ke 300 undi dan sebagainya. Masa itu, maklumlah tiga penjuru.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun di Puteri Wangsa lima penjuru. Jadi kalau berlaku 'straight fight' dua penjuru, maknanya saya yakin peluang itu lebih besar," katanya.

Pada PRU14 yang lalu, BN berjaya memenangi 19 kerusi manakala Pas dengan satu kerusi di DUN Bukit Pasir.

Bagaimanapun, kedudukan kerusi dimenangi BN berubah menjadi 16 apabila tiga wakil rakyat UMNO bagi DUN Endau, Sedili dan Johor Lama menyertai Bersatu.