IPCMC: PDRM adakan pertemuan dengan PM

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM. "Kita adakan mesyuarat tergempar baru-baru ini berhubung beberapa perkara yang diusulkan jawatankuasa terlibat antaranya meletakkan (kuasa) tindakan tatatertib di bawah IPCMC.

"Usul ini menerima banyak tentangan daripada ahli Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP), Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) dan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena acara jualan buku ‘Mes PDRM Pada Era 100 Tahun' di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya telah mengutus sepucuk surat kepada pucuk pimpinan negara dengan ketiga-tiga persatuan itu menyatakan persetujuan untuk menemui Perdana Menteri berhubung bantahan itu. Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas perlantikan, promosi dan juga semua isu-isu mengenai tatatertib pegawai polis.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah yang diambil bagi memastikan ia benar-benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang. Selain itu bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini.

Pada 4 April lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata, IPCMC bebas untuk melakukan siasatan terhadap badan penguat kuasa itu dan kerajaan tidak akan campur tangan bagi menangani sebarang aduan mengenai polis.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas cadangan penubuhan IPCMC untuk menyiasat kes kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat yang didakwa membabitkan polis Cawangan Khas (SB) seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). - Bernama

Artikel Berkaitan: