JPJ Terengganu kesan dua kesalahan

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah bas persiaran di antara lokasi tumpuan pelancong sempena Ops Khas Bas Persiaran, semalam.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha bas persiaran dikesan gagal menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan seorang pemandu pula dikesan memandu dengan lesen tamat tempoh.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, kedua-dua kesalahan itu dikesan pihaknya dalam pemeriksaan yang dilakukan bersempena OPS Khas Bas Persiaran, bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang, semalam.

"Operasi khas yang dijalankan bersempena cuti Hari Pekerja ini tertumpu di sekitar lokasi pelancongan terutama di kawasan tumpuan bas persiaran termasuklah kawasan Pasar Payang, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan lain-lain.

"Hasil pemeriksaan ke atas lima buah bas persiaran yang membawa pelancong tempatan itu, didapati sebuah daripadanya tidak mempunyai khidmat pemandu pelancong dan sebuah lagi pemandunya memiliki lesen tamat tempoh," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau para pemandu dan pengusaha bas persiaran supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan bas persiaran sentiasa berada di dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Pemandu bas persiaran disoal siasat anggota JPJ yang sedang melakukan Ops Khas Bas Persiaran, semalam.
Pemandu bas persiaran disoal siasat anggota JPJ yang sedang melakukan Ops Khas Bas Persiaran, semalam.

Jelasnya lagi, sepanjang Januari hingga April lalu, pihaknya memeriksa sebanyak 30 buah bas persiaran dan enam daripadanya sudah diambil tindakan bersempena empat siri Ops Khas Bas Persiaran yang dijalankan.

"Antara kesalahan yang dikesan melibatkan pelesenan pemandu (1 kes lesen tamat tempoh), tiada pemandu pelancong (2 kes), langgar syarat permit bas persiaran (3 kes).

"Kesalahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu boleh dihukum denda tidak kurang RM1000 atau tidak lebih RM500,000 jika disabitkan kesalahan," katanya.