Jawatankuasa khas pembangunan ECRL perlu ditubuhkan

Azran Deraman
Azran Deraman
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri diminta mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Pembangunan ECRL Kelantan untuk bertanggungjawab merancang, merangka dan mencadangkan sebarang keperluan dan perbincangan untuk dimajukan kepada pihak pentadbiran persekutuan di Putrajaya.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Harapan Malaysia (Muafakat) Kelantan, Azran Deraman berkata, itu adalah salah satu langkah perlu dilakukan kerajaan negeri selain beberapa inisiatif lain yang perlu diambil kira apabila ECRL mula beroperasi.

“Jajaran stesen baru ECRL bagi negeri Kelantan melibatkan stesen Tok Bali dan Kota Bharu. Oleh itu, kerajaan negeri perlu untuk memperkemaskan dan menonjolkan Kawasan Perindustrian Tok Bali sebagai hub perdagangan dan perindustrian baru di Kelantan.

“Badan Berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan negeri sama ada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) atau Invest Kelantan harus segera memulakan langkah ini,” katanya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Noor Azizi Ismail bahawa Kelantan bakal muncul sebagai negeri termaju apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap dibina dan beroperasi menjelang tahun 2026, selaras dengan kekayaan hasil bumi, produk pertanian dan industri pelancongan yang amat berpotensi untuk dieksport.

Menurutnya, Kelantan memerlukan Kawasan Perindustrian baharu selepas Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa tidak dapat lagi menampung pertumbuhan industri baharu atas faktor kepadatan di kawasan sedia ada.

"Produk yang dihasilkan dari ketiga-tiga elemen itu boleh dikomersial dan dieksport ke peringkat antarabangsa menerusi projek itu dari Tok Bali (stesen kargo dan penumpang) ke Pelabuhan Klang.

"Lokasi Tok Bali yang amat strategik dalam aspek geografi kerana terletak berhadapan Laut China Selatan dan juga Kompleks Pendaratan Ikan Tok Bali, di samping di kawasan ini juga terletaknya Tok Bali Supply Base Port yang menjadi pemangkin pembangunan industri sokongan kerja-kerja di pelantar minyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azran berkata, kerajaan negeri juga perlu memulakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan bagi memulakan pembukaan ruang perkhidmatan penerbangan bagi rantau ASEAN dan China terus ke Kota Bharu.

“Ini kerana pembukaan jaringan penerbangan Kota Bharu ke negara-negara ASEAN dan China akan menjadikan Kelantan sebagai destinasi terbaik untuk sektor pelancongan dan perdagangan bagi menyokong projek ECRL ini kelak.

“Potensi pertumbuhan ekonomi di Vietnam, Kemboja dan Thailand harus dilihat sebagai peluang utama untuk Kelantan muncul sebagai hub perdagangan pilihan baru di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Azran berkata, Kota Bharu sebagai ibu negeri harus dipersiapkan dengan infrastruktur asas dari sudut pembekalan air yang cukup dan sempurna.

"Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) juga harus memastikan aspek kebersihan dan premis perniagaan dapat disediakan untuk menyokong perkembangan ini.

“Inisiatif yang diusahakan oleh Datuk Dr Hj Izani selaku Exco kerajaan nyang bertanggungjawab bagi portfolio ini haruslah mendapat sokongan dan pujian bagi memastikan kempen kebersihan dijadikan amalan oleh rakyat Kelantan,” katanya.