Sasaran bina sejuta rumah bakal dicapai

Dr Mahathir berpeluang meninjau Model Skala Pembuatan Digital Dalam Pembinaan sempena Perasmian Kilang IBS Digital Gamuda di Banting, Kuala Langat hari ini.
Dr Mahathir berpeluang meninjau Model Skala Pembuatan Digital Dalam Pembinaan sempena Perasmian Kilang IBS Digital Gamuda di Banting, Kuala Langat hari ini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Teknologi sistem binaan berindustri (IBS) digital yang dipelopori oleh Gamuda bakal melengkapkan matlamat kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kilang seluas 27 hektar itu merupakan kilang IBS terkini di Malaysia yang menyepadukan peralatan reka bentuk dalam talian, platform Model Maklumat Bangunan (BIM) dengan mesin robotik terkini pembinaan bangunan.

Menurutnya, inovasi dan teknologi digital itu menjadi platform menangani permintaan rumah yang semakin meningkat. "Saya dimaklumkan bahawa IBS digital memberi peluang untuk menguasai tenaga kerja tempatan untuk masa depan.

"Bergerak ke arah teknologi IBS digital membolehkan pemaju membina rumah murah dalam tempoh masa yang lebih singkat," katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Gamuda IBS di Bandar Mahkota, Banting, Kuala Langat hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir; Anggota Lembaga Pengarah Gamuda Berhad, Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad, Datuk Lin Yun Ling.

Dr Mahathir berkata, IBS digital juga merupakan inisiatif Gamuda IBS dalam menerajui industri pembinaan tempatan ke arah lebih cemerlang dengan mengurangkan tenaga buruh, reka bentuk fleksibel dan penghasilan yang pantas.

Jelasnya lagi, teknologi IBS digital yang diterima itu adalah tepat pada masanya kerana ia berkembang dengan Industri 4.0, aliran automasi dan teknologi pembuatan semasa yang merangkumi awan pengkomputeran dan BIM.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir memuji inisiatif Gamuda Berhad melabur lebih RM500 juta di kedua-dua kilang termasuk di Sepang.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa mendengar taklimat oleh arkitek sebelum melawat kilang yang mempamerkan keupayaan membina 10,000 unit rumah dan 16,000 pod bilik mandi setahun.

Selain itu, Gamuda IBS juga mampu membina pelbagai rangkaian produk, termasuk rumah mampu milik, kediaman mewah, bangunan bertingkat tinggi serta kemudahan awam seperti sekolah dan hospital.

Menerusi kemampuan Gamuda IBS, kilang berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh sebanyak 70 peratus dan mengekalkan 85 peratus tenaga tempatan yang dilatih Gamuda IBS hasil kerjasama Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta agensi kerajaan.

Sementara itu, Yun Ling berkata, Gamuda merupakan salah satu pengamal platform BIM terawal dengan melaksanakan model 3D dalam pembinaan bawah tanah untuk projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang sejak tahun 2012.

Katanya, kilang-kilang IBS digital merupakan evolusi platform BIM dalam talian yang memproses reka bentuk maya yang dilakukan oleh arkitek dan jurutera dengan memberi arahan kepada robot-robot di bahagian pengeluaran output yang akan dihasilkan sebelum dipasang ke tapak pembinaan.