Perbicaraan kes 1MDB Najib mula 19 Ogos

Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi bagi prosiding perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - FOTO BERNAMA
Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi bagi prosiding perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, akan bermula pada 19 Ogos.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali Jumaat, di samping dua minggu pertama November, untuk perbicaraan kes itu.

Tarikh baharu itu ditetapkan selepas Peguam Negara Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd, memohon supaya mahkamah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB najib sehingga kes SRC International diselesaikan terlebih dahulu, dan tiada bantahan daripada pasukan pembelaan.

"Kami tidak mahu kes SRC International didengar sebahagian dan kemudian dibiarkan tergantung. Jika segala-galanya berjalan lancar, pendakwaan boleh menutup kes pada 21 Jun, yang juga tarikh akhir ditetapkan bagi kes 1MDB," katanya, dan menambah, kes SRC International adalah satu daripada kes berkepentingan awam.

Hakim Sequerah berkata 1MDB juga merupakan kes berkepentingan awam, dan mahkamah telah melapangkan kes yang memperuntukkan hukuman mati bagi mendengar perbicaraan kes 1MDB.

"Saya memerlukan komitmen daripada pendakwaan dan pembelaan berhubung tarikh perbicaraan ini,” kata Hakim Sequerah.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, berkata pasukan pendakwaan tiada bantahan berhubung tarikh baharu perbicaraan itu.

Bagaimanapun, beliau memohon agar mahkamah tidak menetapkan perbicaraan pada hari Jumaat supaya peguam dapat menguruskan perkara lain.

Artikel Berkaitan:

Sebelum menetapkan tarikh baharu itu, Hakim Sequerah mengingatkan pendakwaan dan pembelaan supaya tidak lagi menangguhkan kes itu kerana ini merupakan kali kedua kes 1MDB ditangguhkan.

"Ini kali kedua anda memohon kepada saya tarikh baharu. Anda perlu ingat, 1MDB juga adalah kes berkepentingan awam. Saya juga ada kes lain seperti bunuh dan dadah. Sekarang anda pohon bagi kali kedua untuk penangguhan kes 1MDB.

"Jadi, saya tetapkan keseluruhan bulan September dan Oktober selain dua minggu pertama November. Saya tidak mahu ada lagi permohonan selepas ini bagi penangguhan perbicaraan kes 1MDB," kata Hakim Sequerah.

Mahkamah turut menetapkan 21 Jun bagi pengurusan kes. - Bernama