Ajal ayah depan mata mak

Kemalangan membabitkan kenderaan mangsa dengan sebuah lori tangki di Jalan Besar Panchang Bedena, pagi tadi. - FOTO IHSAN JBPM
Kemalangan membabitkan kenderaan mangsa dengan sebuah lori tangki di Jalan Besar Panchang Bedena, pagi tadi. - FOTO IHSAN JBPM
A
A
A

SABAK BERNAM – Siapa sanggup melihat insan tersayang menghembuskan nafas terakhir di depan mata namun keadaan memilukan itu terpaksa diharungi Nurlian L Abdullah, 58.

Nurlian bersama suaminya, Sabri Arifin, 67, dalam perjalanan untuk melawat rakannya yang sakit di Tanjong Karang bagaimanapun terlibat dalam satu kemalangan, pagi tadi.

Menurut anaknya, Nur Shakirin Sabri, 33, dia tidak menyangka perjalanan kedua ibu bapanya itu berakhir dengan tragedi yang tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya.

“Lagi sedih, ayah tersepit di tempat duduk dan mak menjadi saksi ayah menghembuskan nafas terakhirnya di lokasi kejadian.

“Mak cedera di bahagian kaki dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam,” katanya.

Katanya, dia tidak melihat sebarang perubahan pada bapanya yang disifatkan sebagai seorang yang ceria dan peramah.

“Kebetulan semalam cuti Hari Pekerja. Saya dan keluarga sempat menziarahi ayah dan mak di kampung.

“Waktu itu, ayah cukup teruja bergurau senda bersama anak-anak saya dan tak tunjuk sebarang perubahan pun,” katanya sebak.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, sebelum berangkat pulang, ayahnya sempat memaklumkan dia mahu ke Tanjong Karang menziarahi rakannya yang sakit.

“Itulah kali terakhir saya berjumpa ayah. Bila dapat panggilan telefon mengenai musibah kemalangan ni, dunia saya terasa gelap dan lutut terus lemah.

“Saya pun segera menghubungi suami, Mohd Jhaznarul Juharulzaman, 36 dan bergegas ke hospital," katanya yang menetap di Ipoh.

Kemalangan yang meragut nyawa bapanya selepas Perodua Myvi yang dipandu mangsa terbabas di laluan bertentangan dan melanggar lori tangki di Jalan Besar Panchang Bedena, pagi tadi.

Dalam kejadian 5.58 pagi di Kilometer (KM) 45 Jalan Teluk Intan-Klang, Sabri meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Nurlian dan pemandu lori tangki masing-masing cedera di kaki di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Bahagia, Teluk Intan dan disolatkan di Masjid As Saadah, Kampung Bahagia selepas solat Zuhur.

ARTIKEL BERKAITAN Suami maut tersepit, kereta langgar lori tangki