MED fokus tiga sasaran utama

Mohd Redzuan Yusof
Mohd Redzuan Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), yang diperkenalkan semula oleh kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) selepas memgambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan hampir setahun lepas, berada di landasan untuk mencapai sasarannya.

Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata sejak beliau dilantik menteri MED, beliau meletakkan tiga sasaran utama iaitu untuk memperkukuhkan industri halal, mengubah konsep kereta nasional ketiga dan memajukan industri aeroangkasa.

“Ketika ini, kami merancang untuk menyepadukan logo halal di seluruh dunia untuk menyelaraskan proses pensijilan. Banyak negara telah menunjukkan minat berikutan Malaysia dilihat sebagai peneraju kerana pensijilan halal negara kita dikenali di peringkat global sebagai yang terbaik,” katanya dalam wawancara bersempena pencapaian setahun PH.

Berhubung langkah untuk mengubah konsep kereta nasional ketiga, Mohd Redzuan berkata kerajaan hanya berada dalam kedudukan untuk menjadi pemangkin bagi membuka pasaran kepada sektor swasta untuk melabur.

“Dengan kepakaran kita (industri automotif) digabungkan dengan teknologi daripada Timur dan Barat, saya percaya kereta nasional ketiga akan lebih menarik kepada generasi lebih muda,” katanya.

Berhubung industri aeroangkasa, menteri itu berkata meskipun awam umumnya melihat idea bagi menghasilkan kereta terbang sebagai satu jenaka, ia akan menjadi realiti dalam jangka waktu terdekat.

“Kita perlu berfikir di luar daripada kebiasaan. Jepun telah melakukannya, Emiriah Arab Bersatu telah melakukannya. Tidak salah untuk kita melakukannya ? Malaysia telah menjadi pemain penting dalam industri aeroangkasa. Kita mampu lakukannya,” katanya.

Berhubung kekangan yang dihadapi MED dalam melaksanakan rancangannya, Mohd Redzuan berkata kementerian bernasib baik dari segi ia tidak mempunyai sebarang legasi sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Kini, kami hanya fokus terhadap sasaran kami dan telah menyelaraskan usaha kami untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan tugas kami untuk memperkukuhkan teras (aktiviti kementerian) dan kelancaran pelaksanaannya,” katanya.

Berikutan MED dibubarkan pada 2009 dan hanya diperkenalkan semula dua bulan selepas PH berkuasa, Mohd Redzuan berkata semasa ketiadaan kementerian itu, banyak perkara tidak diselaraskan untuk usahawan.

“Terdapat isu-isu tetapi kami berada di landasan dan yakin kami akan sampai ke destinasi akhir kami, iaitu untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada 41 peratus keluaran dalam negara kasar pada 2020,” katanya. -bernama