Penuntut POLISAS cipta alat tangkap ular

Muhammad Fadhlan menunjukkan batang kejutan ular yang direka untuk menangkap ular
Muhammad Fadhlan menunjukkan batang kejutan ular yang direka untuk menangkap ular
A
A
A

KUANTAN - Dua penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) berjaya menghasilkan alat menangkap ular itu diberi nama ‘Snake Shock Stick’ atau Batang Kejutan Ular yang menggunakan kuasa eletrik.

Muhammad Fadhlan Safee, 21, berkata, ciptaan peralatan itu bagi memudahkan usaha menangkap ular berbisa dan lebih selamat.

Menurutnya, dia bersama sahabatnya, Muhamad Ilham Hakimi Abd Sukor, 22 mengambil masa hampir sebulan untuk menghasilkan batang kejutan ular yang dibahagikan kepada tiga komponen utama.

“Idea ini tercetus apabila melihat kaedah penangkapan reptilia itu yang terdedah dengan ancaman, jadi kami cipta alat ini. Alat ini mengeluarkan renjatan elektrik berkuasa 3.7 voltan dihasilkan daripada bateri.

“Reptilia itu akan menjadi lemah apabila tersepit pada peralatan itu dan ia dilihat amat selamat digunakan,” katanya ketika ditemui,semalam.

Muhammad Fadhlan berkata, peralatan itu sesuai untuk menangkap ular sederhana besar dan berbisa terutama membabitkan spesis seperti ular tedung selar, ular kapak, ular sawa dan ular senduk.

Jelasnya, penyepit boleh laras yang berada dihujung galah bertindak sebagai pemegang bahagian badan ular bagi mengelak reptilia itu bertindak agresif untuk menyerang.

“Selepas ular disepit dua jarum yang berada pada hujung galah akan terkena badan reptilia itu. Arus elektrik yang terhasil dapat melemahkannya dalam jangka masa beberapa saat sahaja.

Artikel Berkaitan:

“ Bila ular lemah ia mudah ditangkap,” katanya yang bercadang menjual peralatan itu sekitar RM150. Menurutnya, kotak suiz itu turut menempatkan bateri digunakan untuk mengawal aliran arus elektrik.