Kerajaan saran pengeluar produk sawit guna logo 'Sayangi Sawitku'

Teresa melancarkan Kempen Saji Sayangi Sawitku bersama Haris Fadzilah (kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products, Bhd Shammim Kamruzaman (kanan), di Shah Alam, baru-baru ini.
Teresa melancarkan Kempen Saji Sayangi Sawitku bersama Haris Fadzilah (kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products, Bhd Shammim Kamruzaman (kanan), di Shah Alam, baru-baru ini.
A
A
A
KEMENTERIAN Industri Utama menggalakkan syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan sawit menggunakan logo 'Sayangi Sawitku' yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai kelebihan minyak sawit.

Menterinya, Teresa Kok berkata, dengan menggunakan logo tersebut, rakyat akan lebih sedar kepentingan minyak sawit kepada ekonomi dan kehidupan seharian mereka.

"Saya berharap syarikat lain yang menggunakan minyak sawit dapat mencontohi FGV Holdings Berhad (FGV). Tujuan kita meletakkan logo tersebut, supaya pengguna sedar minyak masak yang digunakan ini mengandungi kelapa sawit.

"Ini satu proses kesedaran pendidikan yang dilancarkan di seluruh negara supaya rakyat sedar kepentingan minyak sawit yang begitu rapat dengan kehidupan serta kepentingannya dalam ekonomi kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Saji Sayangi Sawitku di Kompleks FGV Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Haris Fadzilah Hasan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, Shammin Kamruzaman.

FGV menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd mengadakan kempen itu bagi menyokong Kempen Sayangi Sawitku oleh Kementerian Industri Utama.

Sementara itu, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sebagai jenama utama minyak masak di Malaysia, Saji merupakan produk halal terbaik bagi menyokong inisiatif kerajaan bagi meningkatkan penggunaan produk berasaskan sawit.

"Mulai hari ini (semalam), logo Saji Sayangi Sawitku akan dipaparkan pada produk minyak masak Saji, iklan komersil dan lori tangki GFV.

"Kempen ini juga sebagai penghargaan kepada pekebun kecil yang menyumbang 70 peratus buah sawit yang diproses oleh FGV,” katanya yang memaklumkan Saji menguasai 27 peratus pasaran minyak masak tempatan pada 2018.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, sempena Ramadan ini FGV melancarkan kempen Infak Ramadan Saji, yang menyasarkan RM300,000 jumlah kutipan dalam tempoh sebulan berpuasa.

"Setiap pembelian minyak masak 5kg, sebanyak RM0.50 akan didermakan kepada badan kebajikan tempatan termasuk yang berkaitan dengan peneroka Felda dan badan bantuan kemanusiaan antarabangsa,” katanya.