Pemimpin kerajaan dan kuasa lunak

A
A

HANYA dalam tempoh dua hari, negara digegarkan dengan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh dua pemimpin berbeza daripada Pakatan Harapan.

Pada 23 April, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan bahawa pihaknya kini dalam usaha untuk membawa masuk artis berkumpulan gergasi Korea BTS ke Malaysia selewat-lewatnya pada 2020 sempena Tahun Melawat Malaysia.

Kurang 24 jam kemudian iaitu pada 24 April, seorang Senator DAP iaitu Nga Hock Cheh – yang juga AJK DAP Perak – mencadangkan supaya kerajaan Malaysia membuka kedutaan di Israel. Lebih mengejutkan lagi ialah hujah-hujah yang digunakan Hock Cheh mengaitkan seruan beliau itu dengan surah Genesis dalam Kitab Injil.

Dari sudut pandang ‘kuasa lunak’ (Soft Power) dalam perspektif politik hubungan antarabangsa (International Relations), logik yang digunakan oleh kedua-dua pemimpin Pakatan ini mengundang seribu satu permasalahan.

Apakah itu Soft Power? Apa bezanya dengan Hard Power? Mengapa hujah yang disandarkan oleh Syed Saddiq dan Hock Cheh dalam mempertahankan BTS Korea dan Israel tertolak sama sekali dari perspektif ini?

Konsep Soft Power ini dikemukakan oleh sarjana dari Harvard University, iaitu Profesor Joseph Nye melalui dua karya beliau berjudul Bound to Lead: The Changing Nature of American Power’ (1990) dan ‘Soft Power: The Means to Success in World Politics (2004).

Kuasa Lunak dimaksudkan sebagai ‘keupayaan untuk memujuk dan menundukkan pihak lain agar mengubah dasar dan kehendak mereka dengan cara yang memikat dan menarik’.

Konsep ‘Kuasa Lunak’ ini berbeza dengan ‘Kuasa Keras’ (Hard Power) yang mengutamakan penggunaan tekanan politik, diplomatik dan ketenteraan untuk mencapai objektif yang sama.

Syed Saddiq memberi alasan bahawa jemputan BTS ‘bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara’ iaitu matlamat beliau supaya ‘industri hiburan Malaysia tidak berada di belakang Singapura memandangkan ramai peminat muzik telah beralih ke negara itu bagi menyaksikan konsert’. Kenyataan Syed Saddiq ini jelas tidak mengambil kira impak jangka panjang dan terlalu terpana dengan keuntungan segera yang tidak seberapa.

Fokus konsert BTS ini tentulah generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan. Apakah ini acuan utama yang ingin kita ketengahkan kepada anak muda? Di mana jati diri kita? Mengapa harus kita terikut-ikut dengan pihak lain yang ‘tunduk’ dengan pesona KPOP seperti di negara-negara Asia, Eropah dan Amerika yang lain?

Sedarkah Syed Saddiq akan impak ‘Kuasa Lunak’ Korea ini kepada kepentingan negara kita pada masa hadapan? Mengapa tidak program pemerkasaan remaja dengan menjemput anak muda yang berjaya dari seluruh dunia – khususnya dari Dunia Islam – untuk dikongsi bersama dengan anak muda kita menjadi usaha KBS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020?

Sebagai sebuah negara dengan warisan peradaban Melayu-Islam yang agung, tidak seharusnya kita – terutama sekali pemimpin belia seperti Syed Saddiq – terpana dengan tarikan dan pujukan material serta prestij artis luaran seperti BTS untuk mengangkat Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sebaliknya, banyak lagi program yang boleh menjana ‘Kuasa Lunak’ kita sendiri serta bersifat memperkasa jati diri anak muda dan membina jaringan keusahawanan, teknologi dan keilmuan dengan pihak lain yang boleh direncanakan.

Demikian juga cetek dan dangkalnya Hock Cheh yang membuat kenyataan di Dewan Negara bahawa kita perlu mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel supaya diiktiraf sebagai ‘pendamai’ dan ‘anak Tuhan’ (Children of God) seperti mana dalam Kitab Injil.

Hock Cheh juga mengatakan hubungan diplomatik dengan Israel akan memberi manfaat kepada industri pertanian kita kerana teknologi Israel yang maju. Jelas, seperti mana Syed Saddiq yang terperangkap dengan fahaman untung-rugi semata-mata tanpa implikasi ‘Kuasa Lunak’ dan jati diri jangka panjang, demikian juga Hock Cheh yang jelas terpesona dengan kemajuan material Israel tanpa kefahaman jenayah politik Zionis sejak dulu hingga kini.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.