PRK Sandakan: Khalid kesal tindakan calon Bebas

Khalid - FOTO ROSLI TALIB
Khalid - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SANDAKAN - Parti Amanah Negara (Amanah) kesal dengan tindakan bekas ahli parti itu yang mendakwa pimpinan parti menyokongnya untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, kalau ada mana-mana bekas ahli Amanah mendakwa mendapat sokongan Presiden Amanah Mohamad Sabu pada PRK Sandakan, ini adalah satu pembohongan.

"Amanah sebagai sebuah parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) hanya memberikan sokongan kepada calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai ceramah umum DAP pada PRK Sandakan di sini, malam tadi.

Pada Selasa lepas, Amanah Sabah membuat laporan polis terhadap calon Bebas dalam PRK Parlimen Sandakan, Hamzah Abdullah yang berkempen menggunakan logo parti Amanah.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud selepas melihat beberapa individu berkempen mengedarkan risalah calon Bebas itu memakai baju yang mempunyai logo parti Amanah di Pasar Kim Fung Batu 4 di sini.

Hamzah meletak jawatan sebagai Pengerusi Amanah Sabah sehari sebelum penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Khalid menyifatkan calon DAP pada PRK Sandakan ini, Vivian Wong Shir Yee sebagai anak muda yang berpotensi dan ada kelebihan mewakili Parlimen Sandakan khususnya untuk bersuara di Parlimen.

Katanya berbanding calon parti pembangkang iaitu Parti Bersatu Sabah yang mempertaruhkan Datuk Linda Tsen Thau Lin, merupakan bekas Ahli Parlimen (Batu Sapi) yang tidak menyerlah di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua lihat prestasi calon PBS itu (Tsen) semasa menjadi Ahli Parlimen dan langsung tidak menyerlah dan mampu memberikan sumbangan pada perbahasan untuk menyuarakan idea dan cadangan bernas," katanya.

Ditanya mengenai penggunaan sentimen tempatan oleh PBS pada PRK Sandakan, Khalid berkata kerajaan persekutuan yang ditubuhkan menerusi gabungan parti di bawah PH mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sabah berbanding ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Katanya dalam PH, Sabah memang akan diberi layanan adil dan bukan retorik tetapi realiti apabila membawa usul pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

"Kejujuran kami terbukti dengan membawa usul pindaan ini dan semua Anggota Parlimen daripada PH menyokong tetapi Anggota Parlimen daripada BN tidak mengundi dan menggagalkan pindaan itu," kata Khalid. - Bernama