Kediaman EV5 capai kadar ambilan 90 peratus

Rumah EV5 di Shah Alam berjaya capai kadar ambilan 90 peratus.
A
A

ELMINA Valley Five (EV5) di Shah Alam iaitu siri terakhir bagi barisan kediaman Elmina Valley (EV) yang paling laris oleh Sime Darby Property berjaya catat sebanyak 90 peratus kadar ambilan daripada jumlah keseluruhan 373 unit yang ditawarkan semasa pelancaran.

EV5 ialah pembangunan pegangan bebas yang terletak di perbandaran pemegang anugerah City of Elmina dan sebahagian daripada perbandaran yang memiliki jaringan kesambungan yang baik.

EV5 terletak bersebelahan dengan lokasi ikonik, Elmina Central Park iaitu taman seluas 300 ekar dengan 36 ekar daripadanya telah siap.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Kumpulan, Datuk Wan Hashimi AlBakri Wan Ahmad Amin Jaffri berkata, Sime Darby Property merancang untuk melancarkan hanya 113 unit bagi fasa kedua, namun setelah menyedari respons daripada para pembeli pada hari pertama, syarikat telah membuat keputusan untuk membuka kesemua 205 unit untuk jualan.

"Hasilnya, kami telah mencapai kadar ambilan keseluruhan sebanyak 90 peratus bagi EV5 iaitu pencapaian yang cemerlang memandangkan keadaan pasaran yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan kelmsrin.

Fasa pertama EV5 yang menawarkan 168 unit telah dilancarkan pada 23 Mac dan hampir semua unit habis dijual manakala fasa kedua kediaman EV5 yang dilancarkan pada 27 April, menyaksikan 83 peratus unit ditempah pembeli.

Fasa kedua EV5 menawarkan kediaman dua tingkat berangkai pada harga bermula dari RM850,399.