Pertandingan Beyblade bantu golongan asnaf

Sarban menganjurkan Pertandingan Beyblade pada Jumaat ini bagi mengumpul dana buat asnaf.
Sarban menganjurkan Pertandingan Beyblade pada Jumaat ini bagi mengumpul dana buat asnaf.
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi membantu golongan asnaf, Pertubuhan Persaudaraan dan Kejiranan Shah Alam (Sarban) mengambil inisiatif untuk mengumpul dana dengan menganjurkan Pertandingan Beyblade Curst yang bakal berlangsung pada Jumaat ini di Masjid Hidayah, Seksyen 18 bermula jam 8.30 malam.

Pengerusinya, Hazlan Harun berkata, kutipan yuran penyertaan pertandingan itu akan diberikan kepada golongan asnaf yang memerlukan khususnya menjelang kehadiran bulan Ramadan ini.

Hazlan berkata, pertandingan itu juga merupakan antara program kemasyarakatan yang diatur oleh pihaknya pada tahun ini bagi membantu golongan memerlukan.

"Pada kali ini kita bermula dengan pertandingan Beyblade memandangkan ia sudah menjadi satu trend terkini serta mempunyai penggemarnya tersendiri.

"Dan oleh sebab itu kita anjurkan pertandingan ini dan yuran penyertaan tersebut akan digunakan bagi membantu golongan asnaf," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hazlan berkata terdapat dua kategori yang ditawarkan pada penganjuran pertandingan kali ini iaitu bawah 12 tahun dan terbuka.

Menurutnya, bagi kategori bawah 12 tahun, yuran penyertaan sebanyak RM5 akan dikenakan manakala kategori terbuka pula sebanyak RM10.

"Kita menyasarkan sebanyak 50 penyertaan dan untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh hubungi urusetia di talian 017-3700273 (Yan) dan 01158775767 (ejam)," katanya.

Artikel Berkaitan: