Polis buru ‘Yamcik’ disyaki jual telefon bimbit curi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dikenali dengan nama panggilan ‘Yamcik’ diburu polis kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti menjual telefon bimbit curi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata suspek diburu susulan penahanan dua individu, dalam serbuan berasingan di Puchong dan Petaling, Selangor pada Isnin lalu.

Katanya dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Mawar, Puchong, seorang wanita ditahan bersama dua telefon bimbit berjenama Vivo, manakala seorang lelaki ditahan dalam serbuan kedua di tapak pembinaan berhampiran sebuah institusi pendidikan di kawasan Petaling dan pihaknya merampas sebuah telefon bimbit berjenama Meizu.

Rudy berkata, siasatan mendapati suspek wanita yang ditahan telah membeli telefon bimbit, daripada ‘Yamcik’ dengan harga RM400 beberapa bulan lalu.

Menurutnya, suspek lelaki pula mengaku pernah mengambil dan menjual kira-kira 10 telefon bimbit pelbagai jenama, dan hasil jualan dikongsi bersama Yamcik, tanpa mengetahui dari mana barangan itu diperolehi.

Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 16 tahun hingga 30-an itu direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: