X

Kindly register in order to view this article
!

UniSZA hasrat tubuh Pusat Psikologi dan Rehabilitasi

Program ‘Semarak Bulan Autisme’ bersama penghuni Taman Sinar Harapan yang diadakan di sini semalam.
A
A

KUALA TERENGGANU- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berhasrat untuk menubuhkan Pusat Psikologi dan Rehabilitasi yang pertama di Pantai Timur, sekali gus menjadi hab untuk golongan kurang upaya (OKU) dan autisme.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Norsuhaily Abu Bakar berkata, cadangan penubuhan pusat itu sudah diketengahkan dan berhasrat ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga ketua penyelidik geran universiti yang bertujuan autisme berkata, jika dapat direalisasikan, ia bakal menjadi pelan komprehensif dalam membantu golongan OKU dan autisme.

“Dengan terbinanya hospital dan kepakaran dalam bidang rehabilitasi, kanak-kanak dan psikologi, kita boleh memberikan khidmat dan servis kepada kanak-kanak sebegini.

“Antara perancangan kita adalah untuk adakan kelas dan aktiviti intervensi awal untuk kanak-kanak sebegini dan pada masa yang sama, ibu bapa sudah boleh diagnosis anak-anak mereka dari awal. Ibu bapa tidak lagi perlu ke hospital, tapi terus rujuk kepada kita.

“Kita juga berhasrat untuk memanggil pakar-pakar daripada institut pengajian tinggi awam dan badan bukan kerajaan yang terlibat, serta bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan pihak berkepentingan yang lain untuk bersama-sama memartabatkan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan program ‘Semarak Bulan Autisme’ bersama penghuni Taman Sinar Harapan di sini semalam.

Seramai 22 pelajar dari Fakulti Sains Sosial dan Gunaan UniSZA terlibat dalam program berkenaan dan menjayakan pelbagai aktiviti, antaranya senaman, mewarna dan bercerita.

“Kita akan teruskan program sebegini setiap tahun bersama Taman Sinar Harapan, dalam memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai cara layan anak-anak sebegini, supaya masyarakat menerima seadanya golongan ini.

“Orang ramai harus faham ciri-ciri yang ada pada anak autisme ini kerana mereka pada luarannya normal tapi daripada segi kemahiran sosial dan akademik, sangat terhad. Orang ramai harus tolong dan tidak memandang negatif terhadap mereka dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, UniSZA akan menandatangani memorandum persefahaman bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi program V2i.

Kerjasama itu membolehkan mana-mana agensi di bawah JKM menggunakan perkhidmatan pelajar universiti itu untuk program khidmat kesukarelawanan dengan memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!