Naruhito ditabalkan Maharaja ke-126 Jepun

Naruhito bersama isterinya, Masako selepas ritual pertabalan Maharaja ke-126 Jepun.
Naruhito bersama isterinya, Masako selepas ritual pertabalan Maharaja ke-126 Jepun.
A
A
A

TOKYO - JEPUN. Maharaja ke-126 Jepun Naruhito secara rasmi menaiki Takhta Chrysanthemum hari ini sehari selepas ayahandanya turun takhta, sekali gus menandakan berakhirnya era pemerintahan Heisei (mencapai keamanan).

Dalam titah pertama baginda, Naruhito berikrar untuk 'bertindak mengikut Perlembagaan' dan bersama rakyat di bawah era pemerintahan baharu, Reiwa atau keindahan harmoni.

Baginda turut bertitah akan menjadikan ayahandanya, Akihito sebagai contoh dan mengambil alih takhta itu dengan penuh takzim.

Naruhito, 59, ditabalkan sebagai Maharaja baharu Jepun pada tengah malam tadi, namun proses dan ritual secara rasmi berlangsung pagi tadi.

Maharaja baharu terbabit memasuki Bilik Pain di Istana Diraja di Tokyo mengenakan pakaian rasmi Barat diiringi ahli keluarga lelaki termasuk adindanya, Akishino.

Tetamu wanita termasuk isterinya, Maharani Masako bagaimanapun tidak dibenarkan menghadiri upacara itu kecuali anggota wanita tunggal dalam Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe.

Tidak lama selepas ritual itu berlangsung, Masako tiba di istana itu sambil memakai mahkota bertatahkan berlian untuk menyertai suaminya yang kini bergelar Maharaja ke-126 di Jepun.

Difahamkan, Naruhito akan muncul buat pertama kali di khalayak ramai dan menyampaikan titah kepada rakyat pada Sabtu ini. - Agensi

Artikel Berkaitan: