Terminal Bas Seksyen 17 mula beroperasi hari ini

Mohd Rashidi (tiga, kanan) bergambar bersama penumpang terawal yang tiba di terminal tersebut.
Mohd Rashidi (tiga, kanan) bergambar bersama penumpang terawal yang tiba di terminal tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas melalui kerja-kerja ubah suai sejak beberapa tahun lalu, Terminal Bas Seksyen 17 akhirnya kembali beroperasi secara rasmi bermula hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata terminal tersebut menerima penumpang bas pertama dari Kedah pada jam 11.30 malam semalam dan disambut oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Timbalan Setiausaha MBSA, Noranizam Alias.

Beliau berkata, dengan pembukaan Terminal 17 tersebut, stesen bas sementara di Seksyen 13 akan ditutup secara rasmi bermula hari ini.

"Orang ramai yang ingin berurusan bagi menggunakan perkhidmatan bas ekspres boleh terus ke Terminal Bas Seksyen 17," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mengulas mengenai ciri-ciri baru terminal tersebut, Shahrin memaklumkan terminal bas serba moden ini turut dilengkapi dengan sistem tiket berpusat bagi memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini.

Mohd Rashidi (enam, kanan) bergambar bersama penumpang yang tiba di terminal tersebut.
Mohd Rashidi (enam, kanan) bergambar bersama penumpang yang tiba di terminal tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 10 kaunter tiket bersepadu telah disediakan oleh pihak pengurusan di terminal tersebut.

"Jadi maksudnya di sini adalah penumpang boleh mendapatkan tiket untuk mana-mana syarikat perkhidmatan bas di 10 kaunter yang disediakan itu dan mereka tidak lagi perlu ke kaunter-kaunter tertentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Shahrin berkata terdapat ruang menunggu yang selesa turut disediakan bagi menempatkan 300 penumpang pada satu-satu masa.

Katanya, terminal ini juga turut dilengkapi dengan empat gerai dan satu kedai serbaneka bagi memberi kemudahan kepada pengunjung yang hadir ke sini.

"Terdapat juga tandas awam, tandas orang kurang upaya (OKU), surau lelaki dan wanita, serta ruangan untuk menukar lampin bayi.

"Malah Terminal 17 turut dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) dan mempunyai bilik kawalan sendiri," katanya.