Gagal memimpin, Zahid perlu undur

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Umno Bahagian Alor Setar senada dengan pendirian Pemuda Umno Sabah yang mahu Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya meminta Ahmad Zahid berjiwa besar dan berkorban jawatan presiden demi menyelamatkan survival parti itu, selain mahu hala tuju parti lebih fokus bagi memastikan parti terus ke hadapan.

Menurutnya, pandangan itu disuarakan akar umbi yang semakin gelisah dengan krisis yang sedang melanda parti.

“Ahmad Zahid harus melihat senario lebih besar, iaitu kepentingan parti lebih penting berbanding kepentingan individu atau rakyat. Parti perlu diselamatkan dengan langkah berani dan tegas, bukan bersembunyi di belakang parti seperti perisai bagi kes peribadinya,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal turut kesal kerana terdapat dakwaan wujud perundingan pintu belakang yang jijik dan memualkan ahli parti, yang menyimpang daripada resolusi parti dalam Perhimpunan Agong Umno (PAU) 2018.

“Sejak PRU14 (Mei) hingga PAU hujung September, serta kejutan di Sabah selain beberapa Ahli Parlimen Umno yang telah dan bakal lompat, kami tiada pilihan selain merayu kepada Presiden pertimbangkan saranan itu demi masa depan parti,” katanya.

Menurutnya, ahli parti turut tertanya-tanya desas-desus Umno mahu menjadi kerajaan dengan membentuk ikatan bersama PH.

“Akar umbi terkilan dengan cerita seperti itu dan mahukan penjelasan. Mereka menolak sebarang kerjasama dengan PH, terutama secara tidak langsung bermakna Umno mengiktiraf DAP,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Mohd Johan Rizal berkata, sejak Ahmad Zahid memangku jawatan Presiden sehingga dilantik Presiden, tiada usaha bersungguh-sungguh untuk beliau menyuntik semangat ahli mahupun memperkuatkan fokus parti.

“Bagi kami, Ahmad Zahid gagal menunjukkan kepimpinan yang tegas, tiada karisma serta hala tuju tidak jelas dalam mengemudi masa depan parti, menyebabkan ramai Ahli Parlimen dan kepimpinan bahagian bawa haluan masing masing,” katanya.

Menurutnya, ini menyukarkan pimpinan di peringkat bahagian untuk menyampaikan mesej kepada akar umbi, malah secara diam wujud komplot sumbang yang berusaha merebut kuasa secara jalan pintas.

“Ini suatu pengkhianatan kepada rakyat. Sikap berdiam diri beliau meresahkan kami. Pemuda Umno Alor Setar merayu, dengarlah suara ahli dan rakyat yang masih berharap dan simpati pada Umno. Pertimbangkanlah desakan kerana pemimpin datang dan pergi, namun parti harus tuntas bergerak demi masa depan,” katanya.