X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Sandakan: Calon bebas mahu perjuang hak rakyat tanpa parti

Hamzah - Foto sumber internet
A
A

SANDAKAN - Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Hamzah Abdullah mahu bebas bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.

“Saya akan kekal bebas, saya tidak akan menyertai mana-mana parti.

“Jika pengundi di Sandakan memilih saya, saya akan menggadaikan nyawa saya untuk mempertahankan hak rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Anggota perniagaan berumur 65 tahun itu turut sebak mengenangkan masalah rakyat yang belum diatasi, khususnya dari segi cabaran ekonomi, selama berkecimpung dalam arena politik.

Hamzah berkata beliau telah berkecimpung dalam arena politik sejak lebih 30 tahun semasa dengan Pas dan kemudian, membantu mengasaskan Amanah di Sabah pada 2015, namun kini memilih untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa parti.

Menurutnya, beliau mahu bebas untuk bersuara di Parlimen jika dipilih menjadi wakil rakyat nanti agar kerajaan tahu masalah rakyat yang sebenar.

Antara isu yang diperjuangkannya ialah masalah pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada warganegara tulen, khususnya daripada kalangan masyarakat miskin dan pedalaman.

Hamzah berhadapan persaingan lima penjuru pada PRK pada 11 Mei ini menentang calon DAP Vivian Wong Shir Yee, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan dua lagi calon bebas – anggota perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pembantu tadir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt daripada DAP pada 28 Mac lepas. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!