Dah seminggu, mana Umair menghilang?

Risalah yang diedarkan oleh Mahatdhir bagi mencari Umair yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Risalah yang diedarkan oleh Mahatdhir bagi mencari Umair yang dilaporkan hilang sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa kepada salah seorang pelajar yang dipercayai melarikan diri dari sebuah pusat tahfiz di Tampin, Negeri Sembilan masih meneruskan usaha bagi mengesan anak lelakinya itu.

Menurut Mahatdhir Mat Lazim, 43, dia tidak berputus-asa untuk mencari anaknya, Umair Fayed, 13, di lokasi sekitar Damansara Damai, Sungai Buloh, Paya Jaras dan Kepong sejak pelajar tersebut dilaporkan hilang dari pusat pengajian terbabit.

Menurut Mahatdhir, pihaknya menumpukan pencarian di kawasan itu berikutan terdapat banyak saksi mengakui ternampak ketiga-ketiga pelajar terlibat di kawasan Damansara Damai sebelum ini.

"Walaupun polis mengatakan ada di antara waris memaklumkan lokasi terakhir di Putrajaya, namun saya masih tertumpu untuk mencari di kawasan ini kerana banyak pihak mengakui pernah ternampak mereka di sini.

"Semalam juga saya telah keluar sejak jam 7 malam sehingga 5 pagi untuk mencari Umair di kawasan-kawasan berhampiran Damansara Damai dan Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Mahatdhir berkata dia juga bercadang untuk mengedarkan risalah gambar anaknya itu di sekitar kawasan berkenaan bermula hari ini dalam usaha untuk mengesan pelajar terbabit.

Selain itu, dia memaklumkan pihaknya juga turut meminta bantuan jawatankuasa masjid di sekitar kawasan tersebut untuk membuat hebahan mengenai kehilangan Umair melalui aplikasi WhatsApp.

"Ini kali pertama anak saya melakukan tindakan sebegini dan saya tidak akan berputus asa untuk mencarinya.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun saya risau jika lagi lama dia hilang, dia akan terjebak dengan benda-benda yang tidak baik," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan mengenai kehilangan tiga pelajar tahfiz yang dipercayai melarikan daripada pusat pengajian terbabit.

Menurut pengetua tahfiz tersebut, Suhaimi Othman pada awalnya lima pelajar merancang untuk melarikan diri namun hanya tiga orang sahaja nekad berbuat demikian.

Kata Suhaimi, hasil siasatan yang dilakukan pihaknya bersama dua pelajar itu mendapati mereka merancang untuk keluar dariapda pusat tahfiz terbabit dan mencari kerja di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, polis menerusi kenyataan terkini memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan tiga pelajar tahfiz terbabit di sekitar Putrajaya berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada keluarga mangsa.

Buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kehilangan pelajar terbabit selepas menerima laporan di Balai Polis Bahau pada 24 dan 25 April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah seminggu, tiga pelajar tahfiz belum ditemui