Kapal Equanimity sudah keluar dari Langkawi

Kapal Equanimity. Gambar kecil: Mohd Iqbal
Kapal Equanimity. Gambar kecil: Mohd Iqbal
A
A
A

LANGKAWI - Kapal mewah Equanimity sudah berlayar keluar daripada Markas Wilayah Laut 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (Mawilla 3) di Bukit Malut, Langkawi menuju ke Singapura kira-kira jam 2 petang pada 28 April lalu.

Ketua Polis Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kapal mewah itu kini bukan lagi aset kerajaan Malaysia selepas dimiliki sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad.

"Pergerakan kapal mewah ini tidak diiringi pasukan Polis Marin disebabkan bukan lagi aset kerajaan yang diletakkan di bawah kawalan Jabatan Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal April lalu, Genting Malaysia Berhad mengesahkan membeli Equanimity pada nilai AS$126 juta (RM514.6 juta).

Syarikat itu berkata, pihaknya membuat tawaran ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli kapal mewah tersebut di bawah proses Jualan Kehakiman melalui jualan terus persendirian pada 26 Mac.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur telah memberikan kelulusan untuk menerima penjualan Equanimity kepada Genting atas terma-terma dan syarat-syarat Syerif.

Menurutnya, banyak tawaran diterima namun hanya sebilangan kecil sahaja melebihi AS$100 juta.

Tommy berkata, tawaran AS$126 juta ini ialah tawaran terbaik diterima dalam tempoh lima bulan sejak Oktober 2018 selepas Equanimity diumumkan untuk dijual.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Oktober, Mahkamah Admiraliti meluluskan proses pembidaan kapal mewah sepanjang 92 meter itu bermula 29 Oktober 2018 sehingga 28 November 2018 selepas dirampas di Bali, Indonesia pada Februari 2018.

Kapal Equanimity didakwa dibeli oleh ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan wang 1MDB.