24 nelayan Vietnam ditahan curi hasil laut

Dua buah bot yang ditahan APMM kerana mencuri sumber perikanan negara dengan melakukan aktiviti tangkapan ikan secara haram.
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan 24 nelayan asing termasuk dua tekong dipercayai warga Vietnam di kedudukan lebih kurang 19 batu nautika Tenggara perairan Pulau Aur, semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten APMM Mohd Zulfadli Nayan berkata, kesemua individu berusia 15 hingga 56 tahun itu ditahan ketika sedang mencuri sumber perikanan negara dengan melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan dua buah bot kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Sebuah kapal peronda APMM yang didatangkan khas dari Johor Barat telah mengesan dua buah bot asing dari Vietnam.

"Kapal peronda APMM telah menahan kedua-dua bot tersebut dan selepas pemeriksaan mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya di sini hari ini.

Dua buah bot yang ditahan APMM kerana mencuri sumber perikanan negara dengan melakukan aktiviti tangkapan ikan secara haram.
Dua buah bot yang ditahan APMM kerana mencuri sumber perikanan negara dengan melakukan aktiviti tangkapan ikan secara haram.

Mohd Zulfadli berkata, semasa pemeriksaan, tekong kedua-dua bot gagal mengemukakan sebarang lesen bot dan terdapat sebilangan kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM6.4 juta termasuk kedua-dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut, dan bahan bakar.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata, APMM sentiasa serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

"APMM Johor khususnya ZMTS akan menggandakan usaha untuk mencegah berlakunya kejadian rompakan di laut serta dengan sedaya upaya mengekang pencerobohan vesel penangkapan ikan asing khususnya dari Vietnam di perairan Johor Timur daripada menghantui komuniti maritim setempat," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia