Maritim tahan dua vesel korek pasir milik Mongolia

No Image Caption
A
A
A
MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua vesel korek pasir yang menjalankan kegiatan mengorek dan memindah pasir secara tidak sah di perairan Selat Melaka, kira-kira 4.3 batu nautika barat laut Pantai Klebang di sini, Rabu lepas.

Pengarah Maritim Negeri Sembilan/Melaka, Kapten Maritim Amran Daud berkata, turut ditahan enam kru, semuanya warga China yang mempunyai dokumen lengkap, ditahan kira-kira 11.30 malam tadi.

"Anggota Maritim yang menjalankan rondaan di sekitar perairan Selat Melaka, mengesan dua vesel korek pasir sedang mengambil dan memindahkan pasir laut di luar waktu yang ditetapkan.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua vesel korek itu didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amran berkata mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata Maritim Melaka/Negeri Sembilan sehingga kini berjaya menyelesaikan lapan kes berkaitan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes tersebut merupakan kes pertama yang disiasat di bawah Akta Pelantar Benua 1966.

"Maritim sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon maritim Malaysia bagi memastikan semua kapal dan bot yang berada di perairan negara mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah atau kecemasan di perairan negara diminta menghubungi talian hotline Maritim Negeri Sembilan/Melaka di talian 06-3876730 yang beroperasi 24 jam," katanya. - Bernama