X

Kindly register in order to view this article
!

Misi kembali menjadi pengeluar timah terbesar dunia

Xavier Jayakumar - FOTO ZAHID IZZANI
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan merancang untuk memulihkan industri perlombongan bijih timah di Malaysia ke zaman kegemilangannya seperti beberapa dekad yang lalu ketika negara ini merupakan pengeluar timah terbesar di dunia.

Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, simpanan bijih timah di negara ini sangat besar kerana kegiatan perlombongan logam itu tidak dijalankan sejak 40 lebih tahun lalu.

Beliau berkata harga timah yang boleh mencecah sehingga AS$ 20,000 hari ini sangat 'menarik' kepada pemain industri dan dengan deposit industri yang berjumlah jutaan tan, ia dijangka menghasilkan pendapatan yang besar dari industri.

"Dan kerana terdapat lebih banyak kepentingan dalam bijih timah, Jabatan Tanah dan Galian kini telah memetakan seluruh negara di mana ada deposit besar timah yang ditemui dan oleh itu para pemain industri kini berminat untuk kembali, melakukan perlombongan bijih timah.

“Kita telah membincangkan hal ini dalam kabinet dan memutuskan untuk kembali melombong bijih timah dan memberi kesempatan kepada pihak berminat untuk meneruskan usaha itu,” katanya pada sidang media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Xavier, industri perlombongan timah di negara ini tidaklah terhenti sepenuhnya kerana kegiatan itu masih dijalankan sungguhpun tidak pada skala besar seperti dalam tahun 1960an dan menambah bahawa pada masa ini Rahman Hydraulic Sdn Bhd di Perak merupakan satu-satunya syarikat yang menjalankan kegiatan melombong bijih timah.

Sementara itu, bagi perlombongan bauksit, beliau berkata penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai perlombongan dan pengeksportan bauksit, memberi laluan kepada aktiviti yang lebih baik dan mampan serta meminimumkan kesan perlombongan terhadap penduduk tempatan.

‘Isu bauksit telah dibincangkan secara meluas dengan kerajaan negeri, kita telah mengadakan SOP bersama dengan agensi negeri yang duduk dalam jawatankuasa bersama kita, dan kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan bersetuju dengan SOP itu... dan oleh kita ingin memastikan SOP itu benar-benar dipatuhi bagi menjayakan industri berkenaan, "katanya.

Xavier bagaimanapun menegaskan bahawa dalam usaha untuk memperkuatkan industri, kerajaan komited untuk memastikan ia dikembangkan secara mampan tanpa memberi kesan negatif kepada alam sekitar. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!