Kejora peruntuk RM3 juta perkasa usahawan wanita

Norazman (duduk, tengah) merakam gambar bersama peserta Seminar Usahawanita Kejora tahun 2019 di Amansari Residence Desaru, Bandar Penawar, kelmarin.
Norazman (duduk, tengah) merakam gambar bersama peserta Seminar Usahawanita Kejora tahun 2019 di Amansari Residence Desaru, Bandar Penawar, kelmarin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) komited membantu usahawan wanita dalam wilayah itu melalui suntikan peruntukan sebanyak RM3 juta di bawah Unit Ekonomi dan Usahawan agensi tersebut pada tahun ini.

Pengurus Besar Kejora, Norazman Othman berkata, peruntukan itu melibatkan bantuan kemudahan perniagaan melalui penyediaan premis ruang niaga, program peningkatan pendapatan, kursus dan latihan.

Menurutnya, usaha tersebut bagi memacu pertumbuhan usahawan wanita terutamanya persatuan di bawah Kejora seperti Persatuan Peniaga dan Usahawan Wilayah Kejora (PUPUK), Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Kejora (PITRA) serta Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA).

"Kesemua persatuan ini akan digerakkan untuk berusaha membantu membimbing ahli-ahli terlibat dalam aktiviti keusahawanan keluarga.

"Di mana untuk tahun 2019 sebanyak RM3,000,000 telah diperuntukkan di bawah Unit Ekonomi dan Usahawan di Kejora bagi penyediaan bantuan serta kemudahan perniagaan melalui penyediaan premis dan ruang niaga RM1.5 juta.

"RM1.1 juta diperuntukkan bagi program peningkatan pendapatan melibatkan karnival, ekspo, transformasi produk, lawatan manakala kursus dan latihan RM150,000, dan latihan B40 pula sebanyak RM150,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Usahawanita Kejora tahun 2019 di Amansari Residence Desaru, Bandar Penawar, kelmarin.

Tambahnya, beliau berharap usahawan-usahawan wanita dan bakal usahawan tempatan dapat merebut peluang dan menggunakan kesempatan seminar itu untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan serta kemudahan yang disediakan agensi terlibat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau yakin skim pembiayaan ataupun peluang latihan yang diwujudkan bakal menjadi satu batu loncatan untuk para usahawan membina keupayaan perniagaan serta maju pada masa hadapan.

"Besarlah harapan saya agar seminar ini dapat memupuk semangat ingin berusaha bersama-sama di kalangan usahawan wanita wilayah Kejora, saling sokong menyokong dan bantu membantu dalam semua aktiviti keusahawanan.

"Pihak Kejora sendiri akan terus komited untuk membantu dan memberikan khidmat bimbingan kepada semua usahawan khususnya golongan wanita," katanya.