Pokok tumbang hempap tiga kenderaan

Pokok tumbang menghempap tiga buah kenderaan di Sungai Rengit susulan ribut berlaku petang semalam.
Pokok tumbang menghempap tiga buah kenderaan di Sungai Rengit susulan ribut berlaku petang semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan mengalami kerosakan selepas dihempap pokok susulan kejadian ribut dan angin kuat yang melanda Pengerang, petang semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Abd Rani berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 1 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama lima anggota serta sebuah jentera.

"Dalam kejadian berlaku di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Rengit itu sebanyak lima batang pokok rhu telah tumbang menghempap tiga buah kenderaan orang awam yang diparkir di kawasan berkenaan.

"Kenderaan tersebut ialah Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah van. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan serta tidak melibatkan mangsa dan kes berkenaan kita serahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain kejadian itu pihaknya turut mendapat panggilan kejadian pokok tumbang yang menghalang jalan utama di Kampung Masjid Teluk Ramunia.

Katanya, pihaknya juga turut mengendalikan kes kabel elektrik tumbang di kampung sama susulan ribut yang berlaku.

"Selepas bergegas dari lokasi di jeti kami ke lokasi panggilan utama di Kampung Masjid Teluk Ramunia. Di sana kami melakukan kerja-kerja memotong pokok yang turut dibantu oleh penduduk serta bomba sukarela Pengerang.

"Manakala bagi kes kabel yang tumbang pihak kami menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan lanjut. Anggaran kerugian ekoran kejadian pokok tumbang menghempap kenderaan itu masih dalam siasatan dan kita menamatkan operasi pada jam 3.38 petang,"katanya lagi.

Artikel Berkaitan: