Pekerja perlu tingkatkan pengetahuan

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Para pekerja perlu melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan agar sentiasa bersedia untuk seiring dengan perubahan semasa, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja hari ini, beliau berkata ekonomi negara masa kini dan masa depan akan berteraskan automasi, risikan buatan, analisis Data Raya, robotik dan Internet Benda (IoT).

“Kita semua harus bersedia untuk menggarap sepenuhnya teknologi ini dalam mendepani cabaran baharu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata beliau yakin dengan bakat dan potensi pekerja Malaysia, dengan keterampilan mereka akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya saing di pasaran global.

“Tanpa dedikasi dan ketekunan mereka, Malaysia tidak mungkin menikmati kemakmuran yang dirasai bersama,” katanya,

Secara keseluruhannya, produktiviti pekerja Malaysia mengikut jam bekerja terus meningkat tahun demi tahun dan pada tahun 2018, ia meningkat kepada 3.4 peratus.

“Untuk itu, marilah kita sambut Hari Pekerja dengan optimis dan keberanian untuk mendakap perubahan.

“Masa depan memang mencabar, namun membuka pelbagai peluang kepada mereka yang bersedia dan berkemahiran,” katanya.-Bernama

Artikel Berkaitan: