Pendekatan lebih telus galakkan hubungan Malaysia-Perancis

Frederic Laplanche
Frederic Laplanche
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendekatan kerajaan Malaysia baharu menonjolkan ketelusan, memerangi rasuah dan persekitaran ekonomi yang baik menggalakkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Perancis.

Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche berkata ia membolehkan Pelaburan langsung asing (FDI) memberi kesan positif kepada perdagangan dua hala, di mana lebih banyak pelabur Perancis akan datang dan melabur di sini.

"Persekitaran ekonomi kini lebih menarik khususnya kepada pelabur asing. Ia satu perkara yang bagus apabila melihat dimensi ekonomi kedua-dua negara, khususnya aliran FDI pelaburan Perancis ke Malaysia berjalan dengan baik, setakat ini.

"Daripada apa yang saya lihat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat kemasukan pelaburan asing Perancis baharu ke Malaysia ke dalam sektor berbeza. Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Perancis juga sangat positif dan dinamik."

Beliau berkata eksport Malaysia ke Perancis meningkat 11.4 peratus tahun lepas manakala eksport Perancis ke Malaysia menokok sebanyak 3.4 peratus.

Laplanche berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu temu bual sempena setahun pemerintahan kerajaan Malaysia baharu di bawah pakatan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Laplanche berkata satu daripada bidang pelaburan asing yang menjadi tradisi Perancis ialah industri aeroangkasa, yang jelas digambarkan dengan penyertaan delegasi negara ini pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) bulan Mac lalu.

Jumlah projek baharu yang diumumkan semasa pameran itu, menurutnya isyarat jelas kepercayaan kerajaan Perancis di Malaysia dan komitmennya terhadap hubungan erat antara Paris dan Kuala Lumpur dalam sektor maritim dan aeroangkasa.

Artikel Berkaitan:

"LIMA 2019 merupakan pameran yang sangat berjaya dan menjadi platform untuk mengumumkan inisiatif pelaburan baharu oleh syarikat Perancis di Malaysia, program kerjasama baharu antara Angkatan Udara kita dan institusi pendidikan.

"Kerjasama pertahanan dan keselamatan, telah bermula semasa Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) pertama kali menjadi Perdana Menteri, kini ia terus kukuh dan berkembang. Buktinya menerusi kehadiran kami dan banyak syarikat Perancis di LIMA 2019, saya gembira dengan kerajaan baharu ini dan semua inisiatif yang ada," katanya.

Banyak projek baharu dimumkan kali ini termasuk Dassault Aviation yang mengembangkan sayapnya ke Malaysia melalui pemerolehan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) ExecuJet Malaysia di Lapangan Terbang Subang.Fasiliti itu akan berkembang menjadi pusat MRO untuk pesawat Falcon di Asia.

Tambahnya Airbus juga telah mengumumkan pembukaan pusat menyiapkan dan penghantaran serantau yang baharu untuk helikopter dan meluaskan fasiliti latihannya bagi menampung helikopter baharu, semuanya di lapangan terbang yang sama.

Laplanche berkata meskipun terdapat banyak inisiatif baharu dilancarkan di bawah kerajaan PH, namun beliau berharap lebih banyak bidang lain yang berpotensi akan diterokai - seperti pendidikan, sosio-budaya dan perubahan iklim.

"Bercakap mengenai pelaburan jangka panjang, aspek budaya juga penting. Saya mahu melihat lebih banyak (promosi) budaya Malaysia di Perancis, dan ia antara bidang kita akan bekerjasama dengan kerajaan baharu. Tidak ketinggalan kerjasama berkaitan perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Perancis adalah antara negara Eropah pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957. - Bernama