250 pendakwah terpilih sertai Du’at Al-Falah

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 250 pendakwah terpilih menyertai Du’at Al-Falah iaitu sebuah gabungan pendakwah yang berperanan membimbing kefahaman masyarakat tentang teras pembinaan Malaysia Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, Du’at Al-Falah daripada kalangan ahli ilmuwan, golongan profesional dan para asatizah itu akan membimbing kefahaman masyarakat berpandukan enam teras Madani sebagai asas diskusi.

"Du’at Al-Falah akan membawa pendekatan kesederhanaan dan berpegang teguh dengan asas akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Konsep Malaysia Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi pada 19 Januari lepas, diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Mohd Na'im berkata, objektif Du’at Al-Falah adalah bagi melahirkan du’at yang sentiasa mendidik masyarakat setempat dan komuniti dengan enam nilai teras Malaysia Madani.

Selain itu katanya, gabungan tersebut berperanan mewujudkan ejen dakwah yang membawa pendekatan sederhana (wasatiy) dan pemikiran bertamadun (madaniyyah) dalam proses perubahan (islah) dan menegak keadilan sosial di Malaysia.

Beliau berkata, pendakwah yang terpilih sebagai Du’at Al-Falah itu akan bertindak sebagai pembentuk watak du’at selaras dengan nilai wasatiyah, hikmah, rahmah, matang dan cerdas.

Du’at Al-Falah itu dipilih daripada kalangan pendakwah yang telah dikenal pasti menerusi pengesyoran oleh institusi dan organisasi dakwah berasaskan tiga kategori iaitu Du’at Komuniti, Du’at Akademia dan Du’at Belia

"Ini merupakan antara usaha membentuk komuniti pendakwah yang soleh dan musleh.

"Pendakwah akan menjadi ikon contoh dalam mengangkat nilai akhlak, juga prinsip keagamaan yang menghormati nilai kemanusiaan (insaniyah) dan menolak segala bentuk kekerasan (ghuluw) dalam beragama,” katanya.

Mohd Na'im berharap Du’at al-Falah akan menjadi pembimbing masyarakat bagi meningkatkan kualiti ilmu pengetahuan Islam yang sebenar dan menerapkan nilai-nilai unggul Malaysia Madani dalam komuniti di segenap peringkat seperti dihasratkan Perdana Menteri. - Bernama