Boling Hawana meriah, 18 pasukan berentap


Jamaluddin bergambar bersama pemenang pertandingan boling kategori berpasukan (Media) pada Kejohanan Boling Media Hari Wartawan Nasional 2023 di Ipoh Bowl, Aeon Kinta City pada Sabtu. - Foto Bernama
Jamaluddin bergambar bersama pemenang pertandingan boling kategori berpasukan (Media) pada Kejohanan Boling Media Hari Wartawan Nasional 2023 di Ipoh Bowl, Aeon Kinta City pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kejohanan Boling Media Hari Wartawan Nasional (Hawana) berlangsung meriah di Ipoh Bowl, Aeon Kinta City di sini pada Sabtu dengan penyertaan hampir 60 peserta mewakili 18 pasukan.

Juara kejohanan menjadi milik pasukan Buletin TV3 diwakili Ahmad Fadilah Abd Aziz, Saqairi Hassan dan Hazwan Alias dengan 1,131 jatuhan pin keseluruhan.

Pasukan Bernama TV diwakili Abd Halim Hafiz, Mohammad Faiz Shoib dan Zarin Noordin muncul naib juara dengan jatuhan pin 988.

Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan strike force menerusi Maznah Abu Bakar, Auzan Ayub dan Hamdanawal Mohamad Sukri dengan 948 jatuhan pin.

Selaku tuan rumah, media Perak diwakili Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) berada di tempat kelima menerusi Shaarani Ismail (FMT), Sayed Mohd Hesham Syed Idris (Utusan) dan Noor Ainon Mohamed Yusof (Sinar Harian) dengan 806 jatuhan pin.

Kejohanan yang berlangsung selama dua jam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Antarabangsa (menanggung tugas Ketua Pengarang) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Jamaluddin Muhammad dan Ketua Penyiaran (TV & Radio) Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Peserta, Amirrul Rabbani Rashid dari Astro Awani Perak berkata, kejohanan itu berjaya mencapai objektif penganjuran untuk mengumpul dan mengeratkan silaturahim antara pengamal media di seluruh negara.

"Saya berharap pertandingan bowling seumpama ini dapat diteruskan kerana saya dapat beramah-mesra dan menambah kenalan rakan-rakan media dari negeri lain," katanya.

Bagi Rosdalilah Zahari dari Perak Kini, acara itu secara tidak langsung dapat menampilkan bakat masing-masing dalam sukan selain memupuk nilai kerjasama antara pasukan dalam kalangan media.

Bertemakan 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi', Hawana 2023 berlangsung di Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini dengan penganjuran pelbagai program antaranya Media Hunt dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Karnival Mini Hawana, forum dan majlis santapan malam bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Majlis kemuncak Hawana 2023 akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.