Yahya pastikan UMNO Johor Bahru bangkit semula

Yahya
Yahya
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar mahu mengetepikan perbezaan politik bagi mengukuhkan semula semangat kekeluargaan dalam parti seperti sebelum ini.

Menurutnya, kesemua ahli UMNO Bahagian Johor Bahru juga perlu berlapang dada dan kembali duduk bersama bagi merealisasikan perkara tersebut.

"Agenda kita sekarang ini adalah untuk memperkasakan semula parti dalam Kerajaan Perpaduan ini.

"Kita percaya dengan kerjasama yang ada antara kerajaan pusat dan negeri... Insya-ALLAH tidak ada masalah untuk UMNO Johor Bahru bangkit semula.

"Terima kasih kepada Tan Sri Shahrir yang banyak beri tunjuk ajar, saya terhutang budi kepadanya dan akan berjumpa minta nasihat dan segala pandangan daripada beliau kerana selaku pemimpin bahagian, saya terbuka dan sedia menerima segala teguran," katanya ketika ditemui sempena Pemilihan Semula UMNO Bahagian Johor Bahru, pada Sabtu.

Pada pemilihan berkenaan, Yahya mendapat 292 undi berbanding Mohd Hairi (260) dengan satu undi rosak daripada seramai 592 perwakilan yang hadir pada pemilihan semula berkenaan.

Untuk rekod, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru pada 18 Mac lalu telah ditangguhkan dan digantung selepas terdapat dakwaan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir.

Tambah Yahya yang juga Ahli Majlis Bandar Baru Uda, dia mahu memberikan fokus membabitkan isu-isu perumahan dan pembangunan di sekitar Johor Bahru khususnya memperjuangkan hak anak muda untuk memiliki rumah.

"Fokus di Johor Bahru ini kebanyakannya terarah kepada urban area (kawasan bandar) dan masalah perumahan yang kita ada seperti rumah-rumah pangsa yang banyak permasalahan yang perlu diselesaikan.

"Ini kerana kita tahu dengan pembangunan yang ada di Johor Bahru ketika ini tetapi masih ramai anak-anak muda belum dapat rumah," katanya.

Sementara itu Yahya berkata, dia berazam meneruskan legasi Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengembangkan lagi Malay belt di negeri ini.

"Jom kita mulakan dari seberang laut ke Majidee, Larkin, Kampung Melayu dan Uda kerana, Malay belt ini penting dalam menentukan peluang anak-anak muda untuk dapat rumah.

"Kita tahu di Johor Bahru perumahan merupakan sesuatu yang asas di samping kita melihat perkara yang lain... oleh itu menjadi tugas dah tanggungjawab kita untuk untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri demi pembangunan akan datang, demi masa depan anak muda JB (Johor Bahru)," katanya.