Mengapa manusia jauh hati

A
A

SAYA berjumpa dengan Rizal di Ayuh Bangkit Bootcamp pada Ahad lalu di Dewan Brainy Bunch International Montessori, Cyberjaya.

Program pertama seumpamanya ini menghimpun semua usahawan kecil untuk sama-sama berniaga hingga berjaya, langsung terus membina rangkaian perniagaan untuk ummah.

Apa yang menarik, program ini hanya mengenakan yuran RM10 untuk program sehari suntuk. Latihan pada program yang pertama ini diberi percuma oleh Coach Fadzil, CEO Brainy Bunch sendiri dan Dr Google, Shakirah Karim. Lebih 600 peserta dari seluruh Semenanjung menghadirinya.

Kami berkenalan tatkala bersarapan di kafe sebelum program bermula. Rizal ialah seorang remaja yang saya agak usianya awal 20-an. Dia ke program itu menemani kakaknya seorang usahawan kek.

Rizal baru sahaja membantu kakaknya mengendalikan jualan secara atas talian dan dialah yang menghantar kek di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Kakaknya pula menjadi chef.

Menurutnya, setelah tamat pengajian di sebuah IPTS, Rizal tak berhenti-henti mencari kerja. Kemudahan IT membolehkan dia mengirim beratus-ratus resume melalui e-mel ke pelbagai syarikat. Banyak kali juga dia menghadiri temu duga. Namun tiada satu pun yang berjaya.

Akhirnya kakak Rizal mengajak dia untuk membantu bisnesnya. Jika selama ini kakaknya menerima tempahan kek melalui telefon, Rizal menjual kek secara atas talian.

Untuk menambah pengetahuan, Rizal rajin bertanya rakan-rakan media sosialnya. Dan dia juga rajin menghadiri kursus-kursus pendek untuk membina followers dan meningkatkan engagement mereka yang singgah ke laman media sosialnya. Dan pagi itu, dia bersemangat untuk menimba ilmu di Ayuh Bangkit Bootcamp.

Sedikit demi sedikit, kempennya melalui media sosial membuahkan hasil. Beliau mendapat semakin ramai pelanggan dan sedikit demi sedikit juga dia semakin sibuk.Inilah yang menjadi masalahnya. Oleh kerana kesibukannya, dia tak sempat hendak melepak di kafe dengan kawan-kawan. Teman-teman di media sosialnya juga tidak sempat dia layani.

SindiranTetapi, apabila berbual dengan mereka, Rizal tak lupa untuk mempromosi kek hasil buatan kakaknya yang semakin laris. Mulalah kawan-kawannya bergurau secara sindiran. Kemudian pula secara perli, kemudian pula kutuk dan akhirnya dia kecam pula.

Semuanya gara-gara Rizal sudah semakin sibuk dan tak sempat bersantai dengan kawan-kawannya. Hal itulah yang dia tanyakan kepada saya. Jawapan saya ialah: "Teman-teman bukannya tidak sukakan awak. Tetapi saya rasa, mereka jauh hati dengan awak."

Mata Rizal terkelip-kelip mendengarnya. Lalu Rizal bertanya kepada saya bagaimana mereka boleh jauh hati kepadanya. Sedangkan sepatutnya dialah yang berjauh hati dengan kawan-kawannya.

Sebenarnya, inilah apa yang berlaku kepada masyarakat kita. Masyarakat menjadi cermin agar kita tidak bertindak di luar paradigma sosialnya. Lazimnya, jika seseorang itu melanggar norma masyarakatnya, dia akhirnya dipulaukan.

Sayangnya, norma masyarakat ini jugalah yang kabur dalam tindakan terhadap anggotanya. Asal sahaja berbeza pandangan, pendirian mahupun tindakan, seseorang itu akan dipandang sebelah mata langsung tidak dipedulikan.

Adil juga jika seseorang itu dipulaukan kerana telah melakukan sesuatu yang negatif hingga memalukan masyarakatnya. Namun, jika seseorang itu melakukan sesuatu yang baik tetapi berbeza dengan kebiasaan masyarakatnya, mengapa pula dia diketepikan?

Jika begitu, bila masyarakat mahu berubah kalau yang membawa perubahan itu boleh meningkatkan imej dan maruah masyarakatnya? Dia sepatutnya ada tempat kerana dia hak komunitinya. Jika dia membawa kebaikan, masyarakat harus mencontohinya.

Sebaliknya andai kata seseorang itu telah melakukan sesuatu yang tidak baik, maka masyarakatnya harus merangkulnya agar tidak pergi jauh daripada komunitinya.

Bekas banduan, bekas penagih, mereka yang jadi perempuan kemudian jadi lelaki dan jadi perempuan semula, yang buka tudung, yang tinggalkan isteri, yang ditangkap khalwat, hatta yang beralih kiblat politiknya pun harus diterima sebagai anggota selagi dia tidak mengancam keseluruhan masyarakatnya.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.