Ramadan bulan sesuai mula berhenti merokok

Menahan diri kira-kira 12 jam tanpa rokok merupakan petanda baik kepada perokok

A
A
A

ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

SOALAN 1:

Doktor, saya seorang perokok yang tegar. Saya pernah mendengar bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk berhenti merokok. Jika benar demikian, bagaimana ia boleh berlaku sehingga saya benar-benar dapat berhenti merokok? -Jejaka Gusar, Rosli Ahmad, 37, Hulu Bernam, Selangor.

JAWAPAN:

BENAR, Ramadan adalah bulan terbaik khususnya buat perokok yang mahu mengambil kesempatan untuk berhenti merokok.

Tambahan pula, Ramadan merupakan bulan yang mulia dan sudah tentulah ada hikmah di sebaliknya.

Semasa saudara berpuasa nanti, saudara sebenarnya telah berjaya menahan daripada ketagihan merokok lebih daripada 12 jam.

Jika saudara adalah seorang perokok tegar yang merokok sehingga 15 hingga 20 batang rokok sehari, tempoh lama tanpa rokok itu adalah satu kejayaan yang besar buat saudara.

Artikel Berkaitan:

Saudara hanya perlu melengkapkan lagi 12 jam baki selepas berbuka sehingga waktu sahur pada keesokannya agar terus tidak merokok.

Langkah pertama adalah saudara mesti mengelakkan pengambilan rokok sebaik sahaja berbuka puasa.

Sebaliknya, saudara boleh terus hadir ke masjid atau surau berdekatan untuk solat Maghrib, Isyak berjemaah seterusnya bersolat tarawih.

Kedua, tanpa membeli sekotak rokok pada bulan ini baik pada siang mahupun malam hari juga boleh membantu saudara mengelakkan diri daripada kembali terjebak.

Jauhkan diri juga daripada rakan atau persekitaran yang boleh mempengaruhi saudara untuk kembali merokok.

Ketiga, tanamkan niat serta azam yang ikhlas pada bulan yang mulia ini agar saudara dapat berhenti merokok selama-lamanya.

Kemudian berdoalah kepada ALLAH SWT, semoga Dia dapat merealisasikan hajat saudara.

SOALAN 2

Doktor, suami saya seorang yang kuat merokok. Walaupun merokok di luar rumah seperti di balkoni, namun, bau rokok itu tetap menyesakkan nafas. Mampukah situasi itu menjejaskan kesihatan saya dan anak-anak di dalam rumah. Bagaimana saya dapat membantunya supaya berhenti merokok? -Puas Nasihat, Siti Ainon Kamarul, 34, Kampung Baru, Kuala Lumpur

JAWAPAN:

APABILA sebatang rokok dibakar, perokok melepaskan lebih daripada 4,000 bahan kimia ke ruang udara melalui asapnya.

Kanak-kanak adalah golongan yang sering terdedah dengan asap rokok di rumah dan kesan ini dikenali sebagai perokok sekunder.

No Image Caption

Jika keadaan itu kerap dan berterusan berlaku, Puan dan anak-anak sedang berdepan risiko menghidap pelbagai penyakit seperti jangkitan paru-paru, lelah dan kanser paru-paru.

Cadangan saya adalah agar Puan dapat mengajak suami untuk duduk berbincang bersama bagi membuat perancangan untuk berhenti merokok demi kesihatan diri dan anak-anak.

Kedua, Puan boleh mula membantu beliau dalam menjalankan petua 12 M untuk berhenti merokok iaitu:

1) Melengah-lengahkan 2) Menarik nafas panjang 3) Minum air 4) Menyibukkan diri 5) Menjauhkan diri daripada orang yang merokok 6) Mengelakkan diri daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok 7) Mengunyah sesuatu seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis 8) Membasuh tangan selalu 9) Mandi dengan kerap 10) Meregangkan otot 11) Meditasi 12) Memohon doa

Terakhir, Puan juga boleh memperkenalkan suami dengan perkhidmatan berhenti merokok MQuit yang ada disediakan oleh kerajaan dan swasta di pelbagai tempat.



ANEKDOT

Fakta membimbangkan akibat merokok:

- Seramai 50 peratus golongan lelaki di Malaysia adalah perokok.

- Di Kuala Lumpur, nisbah antara perokok lelaki dan wanita di bawah umur 30 tahun adalah 5:1. Seramai 25 peratus daripada pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok dan 70 peratus daripada kumpulan ini akan menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah.

- 60 hingga 75 peratus daripada asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok.

- Hanya 50 peratus perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun.

- Rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.

Bahaya rokok:

- Membahayakan nyawa kanak-kanak

- Mengganggu kesuburan lelaki

- Mengakibatkan strok, sakit jantung, kanser paru-paru

Sumber: www.infosihat.gov.my

Vape/ rokok elektronik:

Kandungan utama Vape

Propylene Glycol

Vegetable Glycerin

Bahan Perisa dan pewarna

Walaupun vape didakwa tidak mengandungi nikotin, namun cecair "refill" yang dijual berkemungkinan besar masih mengandungi nikotin. Begitu juga cecair refill rokok elektronik, tidak mustahil boleh ditambah bahan-bahan terlarang berbahaya yang lain.

Sumber: www.infosihat.gov.my/

Profil

Dr Mohd Afiq Mohd Nor:

Merupakan Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health Malaysia) yang juga Pengarah Kempen Selangor Bebas Asap Rokok. Beliau kini bertugas sebagai Pakar Klinikal Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.