X

Kindly register in order to view this article
!

Jasa arwah suami berkhidmat lebih 20 tahun dihargai

Zawiah (kiri) bersama Naim menunjukkan penghargaan yang diterima daripada UTHM.
A
A

BATU PAHAT - Seorang balu kepada bekas pembantu keselamatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tidak menyangka arwah suaminya dipilih menerima penghargaan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Majlis Penghargaan Kepada Pesara dan Kakitangan UTHM di Dewan Sultan Ismail, UTHM, semalam.

Zawiah Saimat, 54, berkata, suaminya, Syed Ibrahim Syed Hashim meninggal dunia September tahun lalu pada umurnya 56 tahun akibat sakit kepala.

"Arwah suami mula mengadu sakit kepala sejak Hari Raya Aidiladha tahun lalu dan disebabkan sakitnya itu, dia pernah ditahan selama dua minggu di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

"Selepas itu, suami ditahan pula di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat hampir seminggu. Doktor gagal kesan punca penyakitnya itu. jadi kami cuba berikhtiar berubat secara tradisional sebelum suami meninggal dunia," katanya.

Menurut ibu kepada lima anak itu, dia juga terkilan arwah suaminya tidak sempat untuk tinggal di rumah baharu mereka yang sedang dibina di Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian yang dibina dengan hasil titik peluhnya bekerja sebagai pembantu keselamatan di UTHM.

"Sepatutnya arwah suami pencen pada tahun hadapan. Dia merancang lepas bersara nanti dia mahu duduk di rumah baru.

"Dia sudah berkhidmat di UTHM lebih 20 tahun, arwah bermula dari bawah sebelum naik sedikit demi sedikit. Terima kasih UTHM kerana menghargai jasa arwah suami saya," katanya.

Sementara itu, Naim Maslan, 51, yang merupakan salah seorang daripada 23 penerima Anugerah Taat Setia (ATS) UTHM kerana berkhidmat lebih 20 tahun berkata, anugerah itu disifatkannya sebagai satu penghargaan universiti kepada kakitangannya.

Beliau yang juga Pengarah Bahagian Sumber Manusia UTHM berkata, beliau mula berkhidmat di universiti ini sejak September 1998 dan ketika itu UTHM dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) sebelum dinaiktaraf kepada universiti pada tahun 2007.

"Sepanjang 20 tahun ini, saya pernah berkhidmat di pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ) dan apa yang penting sebagai kakitangan universiti, di mana sahaja kita ditempatkan kita perlu hormat kepada majikan selain tindakan kita perlu selari dengan apa yang dimajukan oleh pihak pengurusan.

"Kerja merupakan satu ibadah, jadi perlu kita laksanakannya dengan penuh tanggungjawab," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!