Hishammuddin tetap setia bersama UMNO

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

JOHOR BAHRU - “Saya tetap akan bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah pendirian saya dari dahulu, konsisten dan tidak berubah,” tegas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu mengulas dakwaan beliau telah meninggalkan parti dan kini bersama dengan kepimpinan PH.

Hishammuddin berkata, beliau juga tidak mahu mengambil peduli dengan sebarang dakwaan terhadap dirinya kerana menyifatkannya sebagai agenda pihak tertentu.

“Orang yang tidak ditanya sekarang ini sudah melompat parti, orang ditanya setiap hari masih memakai baju UMNO dan bersama parti.

"Saya mendapat soalan ini daripada ramai orang tetapi bukan UMNO Johor sebab mereka tahu siapa Hishammuddin sebenarnya. Mereka dah kenal saya.

“Ada pihak tertentu yang bercakap mungkin ada kepentingan peribadi atau ada matlamat mahu melaga-lagakan pemimpin UMNO.

"Saya jawab bukan melalui kenyataan sahaja tetapi dengan tindakan. Saya hadir di semua Pilihan Raya Kecil (PRK), penamaan calon dan duduk dengan jentera,” katanya pada Mesyuarat Ketua UMNO Bahagian negeri Johor di Johor Bahru semalam.

Menurut bekas Menteri Pertahanan dan bekas Naib Presiden UMNO itu, beliau gembira kerana masih ada pihak yang menyebut namanya, sekali gus mengalu-alukan pihak tersebut untuk terus bertindak sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“Siapa nak bercakap mengenai saya teruskan. Dalam politik ini benda paling teruk yang boleh berlaku ke atas diri anda ialah orang tidak bercakap langsung mengenai anda.

"Jadi kalau dia cakap pasal saya, memang dialu-alukan,” katanya.

Hishammuddin bagaimanapun tidak menafikan pernah menerima tawaran daripada PH untuk meninggalkan UMNO.

“Memang ada tawaran meninggalkan parti, tetapi paling penting bukan tawaran diterima tetapi apa yang dibuat dengan tawaran tersebut," katanya.

Semalam bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada program Bicara Minda juga menegaskan tidak akan meninggalkan parti walaupun ada ketika beliau melemparkan kritikan secara terbuka.