KPKT laksana tiga dasar utama

Zuraida ketika ditemui pada sidang akhbar di Putrajaya kelmarin.
Zuraida ketika ditemui pada sidang akhbar di Putrajaya kelmarin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyifatkan Dasar Perumahan Negara 2.0 adalah antara tiga dasar utama yang berjaya dilaksanakan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara sejak 9 Mei tahun lalu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pencapaian tersebut sukar dicapai sekiranya tidak mendapat kerjasama padu daripada pegawai dan kakitangan kerajaan yang memahami visi dan misi KPKT.

“Dalam tempoh setahun ini, pihak kementerian telah menjalankan tiga fokus utama yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

“Satu daripadanya ialah Dasar Perumahan Negara 2.0 yang melibatkan beberapa pembaharuan termasuk keperluan menyemak atau membangunkan semula perumahan lama,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Menurutnya, di bawah dasar tersebut rumah yang sudah melebihi usia 30 tahun akan dibangunkan semula.

Inisiatif itu selari dengan visi KPKT yang ingin mewujudkan persekitaran hidup berkualiti dan mampan selaras dengan wawasan negara.

“Misalnya, kini pihak kementerian berusaha membangunkan semula Flat Taman Keramat Permai di Ampang, Selangor yang baru-baru ini dilaporkan mengalami keretakan struktur bangunan dengan kelengkapan canggih.

“Ia berikutan hasil tinjauan mendapati selain fasiliti asas, para penduduk di kawasan perumahan terbabit turut berdepan masalah sistem pembetungan, sistem pendawaian dan pemasangan elektrik yang terlalu lama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dasar Perumahan Negara 2.0 turut merangkumi polisi lengkap pemilikan dan pembiayaan kediaman. Rumah Mampu Milik Mengulas lanjut, Zuraida merangkap Ahli Parlimen Ampang memberitahu, selain Dasar Perumahan Negara, KPKT juga berjaya melaksanakan Dasar Rumah Mampu Milik (DRMM).

Dasar pertama kali diwujudkan itu adalah untuk membantu kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) memiliki rumah mampu milik yang kondusif.

“Dalam dasar ini, harga projek rumah untuk keluasan sekurang-kurangnya 900 kaki persegi sama ada dibina kerajaan mahupun pemaju swasta adalah ditetapkan pada harga RM90,000 hingga RM300,000.

“Bagaimanapun, harga rumah itu bergantung pada lokasi dan purata pendapatan penduduk setempat di kawasan berkenaan.

“Kementerian sudah mengenalpasti 100,000 unit rumah mampu milik yang bakal dibina di seluruh negara dan setakat ini 30,000 unit telah diluluskan untuk pelaksanaan pembinaan,” jelasnya.

Dasar Komuniti Negara Dalam pada itu, KPKT tidak ketinggalan melaksanakan Dasar Komuniti Negara untuk mewujudkan masyarakat berdaya saing dan memiliki perasaan kebersatuan bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang.

Dasar berkenaan tertumpu kepada lapan kluster utama iaitu infrastruktur dan penyelenggaraan; kebersihan, alam sekitar dan kesihatan; keselamatan; pendidikan dan kemahiran.

“Justeru, bagi menggerakkan dasar ini kementerian mengambil inisiatif menubuhkan Sekretariat Muafakat Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara yang mana projek pertama di PPR Lembah Subang 2, Subang dan diikuti PPR Kota Bharu, Kelantan.

“Penubuhan sekretariat ini sebagai langkah melahirkan komuniti yang menjaga kebersihan, keselamatan awam, kesedaran sivik (penjagaan harta awam) dan kemahiran sosial di kawasan penempatan masing-masing,” katanya.

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak