Keputusan JKP maklum tiada ruang Syamsul, Puteri Sarah berdamai

Syamsul dan Puteri Sarah hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis bagi prosiding kes cerainya.
Syamsul dan Puteri Sarah hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis bagi prosiding kes cerainya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini diberitahu bahawa tiada ruang untuk pengarah filem 'Mat Kilau', Syamsul Yusof dan isteri pertamanya, Puteri Sarah berdamai serta rumah tangga pasangan itu tidak dapat diselamatkan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, perkara itu dimaklumkan pengerusi Jawatankuasa Pendamai (JKP) ketika membaca dapatan sesi itu di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas.

Menurutnya, ia berdasarkan laporan JKP yang dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), pada 24 Mac lalu yang dihadiri pasangan suami isteri itu.

"Antara isu yang didedahkan ialah berlaku ‘shiqaq’ iaitu perbalahan yang berpanjangan, gangguan pihak ketiga dalam rumah tangga pasangan ini dan isu tanggungjawab.

"Pengerusi JKP itu juga memaklumkan, Puteri Sarah mendakwa berlaku lafaz cerai sebanyak dua kali oleh Syamsul," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, mahkamah memerintahkan isu berkenaan diselesaikan terlebih dahulu sebelum memutuskan keputusan laporan JKP.

Katanya, jika mahkamah mensabit perceraian berlaku sebanyak dua kali, ini bemakna permohonan cerai Puteri Sarah Liyana atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, kali ini merujuk kepada perceraian untuk kali ketiga.

Sementara itu, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof berkata, dapatan mengenai laporan JKP terpaksa ditunda selepas Puteri Sarah membangkitkan isu cerai di luar mahkamah.

Menurutnya, Syamsul menafikan perkara tersebut malah tidak tahu menahu mengenai dapatan laporan berkenaan kerana ia dibuat secara berasingan.

"Susulan itu, mahkamah meminta isu lafaz cerai dua kali itu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum kes ini dipanjangkan dan meminta pihak-pihak memfailkan pengesahan lafaz cerai tersebut," katanya.

Beliau berkata, memandangkan Puteri Sarah membangkit isu itu, maka dialah yang perlu memfailkan pengesahan berkenaan.

Mahkamah menetapkan prosiding bersambung 14 Jun depan.

Ketika prosiding 18 April lalu, Syamsul tidak melafazkan perceraian terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah, selepas ibu kepada dua anak itu, tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian kes cerai mereka.

Tindakan Puteri Sarah enggan menarik balik saman terhadap madunya, Ira Kazar dan keluarga turut menjadi punca perceraiannya dengan suami, tidak kesampaian.

Selain itu, pelakon itu tidak bersetuju apabila Syamsul meminta nafkah dua anak mereka dikurangkan sebanyak 30 peratus.

Memandangkan usaha untuk menyelesaikan masalah rumah tangga pasangan ini secara baik tidak berjaya, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif mencadangkan prosiding permohonan lafaz cerai diteruskan dengan membaca laporan JKP.

Bagaimanapun peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul selaku defendan, membantah sekiranya perkara tersebut kerana mendakwa sesi yang berlangsung pada 24 Mac lalu, tidak dikendalikan secara sempurna iaitu dibuat secara berasingan.

Susulan aduan daripada pihak responden, mahkamah menetapkan 25 Mei untuk memanggil pengerusi JKP bagi memberi penjelasan berhubung prosiding JKP berkenaan.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.